'Ahli Amanah sertai PKR bukan luar biasa'
SHAH ALAM - Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Amanah Negara (Amanah) keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan perkara luar biasa dalam Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara sedemikian pernah berlaku sebelum ini dalam gabungan PH, malah calon Amanah pernah bertanding atas tiket PKR.
"Dalam Pakatan Harapan (PH) ini ada ahli parti Amanah menjadi calon dan bertanding atas tiket Keadilan (PKR), telah berlaku, ada ahli Keadilan (PKR) yang menyertai Amanah. Dia berlaku macam itu juga.
"Kemudian ada ahli Amanah menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pun ada, ada ahli Amanah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun ada. Itu yang sedang berlaku sekarang.
"Jadi (jika) ahli Amanah bertanding atas tiket Keadilan (PKR) tidak jadi isu, tidak timbul kekecohan atas sebab persetujuan bersama," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.
Sebelum ini, lima ADUN Amanah termasuk tiga dari Johor bertindak keluar parti dan berhasrat untuk menyertai PKR.
Mereka masing-masing ialah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim, ADUN Serom, Faizul Amri Adnan serta ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.
Selain tiga ADUN dari Johor, turut didakwa bertindak keluar parti adalah dua ADUN dari Selangor.
Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, dalam sejarah perhubungan PH keadaan di mana ahli PKR menyertai Amanah, ahli Amanah menyertai PKR sentiasa berlaku.
"Ada (juga) ahli Keadilan (PKR) keluar daripada parti... Ada ahli Amanah keluar parti menyertai parti bukan PH pun ada (malah) tak masuk mana-mana pakatan pun ada, ini (juga) sentiasa berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!