MB, Exco Kesihatan terima suntikan vaksin Covid-19

Aminuddin menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di HTJ pada Selasa.
Aminuddin menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di HTJ pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan menjadi antara individu awal yang menerima suntikan dos pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Kedua-dua pemimpin itu selamat menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, pada Selasa.

Aminuddin menerusi satu kenyataan berkata, pemberian suntikan vaksin fasa pertama di negeri ini turut melibatkan seramai 21,000 petugas barisan hadapan.

“Pemberian vaksin bagi fasa satu telah dimulakan pada Isnin (1 Mac) melibatkan seramai 586 petugas barisan hadapan.

“Jumlah dos vaksin yang telah diterima di Negeri Sembilan sehingga hari ini adalah sebanyak 19,890 iaitu untuk kegunaan seramai 9,945 orang petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata, pembekalan vaksin yang mencukupi untuk semua petugas barisan hadapan akan dibuat secara berperingkat.

Katanya, di Negeri Sembilan terdapat 37 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bertemakan 'Lindung Diri, Lindung Semua' itu dilaksanakan dalam tiga fasa bermula dengan fasa satu dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Fasa kedua pula bermula pada April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!