'Afiq renung saya sebelum tutup mata selamanya'

Mohammad Zaini (kiri) di pusara Mohd Afiq Ikmal di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Barakah Tikam Batu Kedah.
Mohammad Zaini (kiri) di pusara Mohd Afiq Ikmal di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Barakah Tikam Batu Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Penerima hati pertama negara, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini tidak sempat menyerahkan cenderahati kepada jururawat dan doktor yang pernah merawatnya di hospital.

Bapanya, Muhammad Zaini Rahim, 50, berkata, anaknya telah merancang lebih awal untuk memberikan cenderamata berkenaan semasa dia sihat.

"Apa yang saya tahu, hadiah itu dirancang lebih awal masa dia sihat dan melalui pesanannya dia mahu berikan pada bulan Mac, bulan ini lah, deposit pun dah bayar.

"Dia selalu keluar masuk hospital, jadi dah kenal jururawat dan doktor, itu yang dia nak hadiahkan, tetapi Insya-ALLAH saya akan tunaikan hasrat arwah," katanya.

Mohd Afiq Ikmal yang sebelum ini dilaporkan kritikal sejak 13 Februari lalu meninggal dunia pada Selasa.

Muhammad Zaini berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu sempat membuka mata merenungnya sebelum memejamkan matanya rapat dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.30 pagi.

“Sebelum ini dia memang tak buka mata tetapi pagi tadi dia buka dan pandang saya, sebelum dia 'pergi'," katanya.

Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menguruskan pengebumian sehingga berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

Pengebumian selesai kira-kira jam 6 petang Selasa yang dihadiri lebih kurang 50 orang rakan dan saudara terdekat.

Mohd Afiq Ikmal menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Selayang pada pagi Selasa, selepas 18 hari menerima rawatan akibat komplikasi hati.

Jenazah kemudiannya dibawa pulang sebaik selesai urusan kira-kira jam 9.30 pagi dan tiba lebih kurang jam 3.15 petang di rumah neneknya di Tikam Batu, Kedah.

Pada 1999, Wan Mohd Hafizam mencatat sejarah negara apabila menjadi individu pertama mendermakan hati kepada Mohd Afiq Ikmal yang ketika itu berusia 14 bulan dan mengalami masalah hati bengkak.

Mohd Hafizam yang tidak mempunyai pertalian darah bersetuju mendermakan sebahagian hatinya atas dasar kemanusiaan.

Bagaimanapun, pada 13 Februari lalu Mohd Afiq Ikmal dimasukkan ke hospital sekali lagi dan keadaannya dilaporkan semakin kritikal serta tidak sedarkan diri sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pagi Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!