Kenapa parti politik enggan buat undang-undang anti lompat parti

Gambar kecil: Saifuddin
Gambar kecil: Saifuddin
A
A
A

ISU ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lompat parti atau lompat apa saja tidak akan berakhir jika mereka sendiri tidak memiliki iltizam politik untuk mengharamkannya.

Kita semua dah tahu, yang terbaru melibatkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Tebrau, Steven Choong – kedua-duanya daripada PKR.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak dapat menyembunyikan amarahnya apabila kedua-dua bekas wakil rakyat PKR itu menyerahkan akuan bersumpah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mereka tidak lompat parti dalam erti kata menyertai parti lain tetapi mahu menjadi wakil Bebas yang mesra pemerintah.

Kita faham dengan amarah Saifuddin itu. Siapa yang tidak marah berhadapan dengan situasi sebegitu tetapi yang kita hairan, Saifuddin tidak pula marah apabila tiga ADUN dari Johor iaitu Khairuddin Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) meninggalkan Amanah untuk menyertai PKR.

Insiden itu baru diketahui umum beberapa hari yang lalu. Untuk berlaku adil, jika Saifuddin tidak setuju dengan langkah dua wakil rakyat PKR berkenaan keluar parti untuk sokong PN, beliau juga wajar menyatakan rasa marah kepada ketiga-tiga ADUN Amanah yang menyertai PKR.

Adalah tidak adil jika beliau 'mengalu-alukan’ kedatangan tiga wakil rakyat Amanah itu tetapi tidak mengalu-alukan keputusan dua wakil rakyat PKR yang keluar parti.

Apatah lagi, jika dilihat dari sudut setiakawan, Amanah adalah sekutu PKR di barisan pembangkang (dulu sama-sama dalam kerajaan).

Artikel Berkaitan:

Beliau sepatutnya menghalang ketiga-tiga mereka daripada menyertai PKR atau tidak menerima keanggotaan sehinggalah isu itu diselesaikan pada peringkat parti terlebih dahulu.

Kenapa ini semua berlaku? Ia kerana ahli-ahli politik sendiri secara diam-diam menerima atau mahu perbuatan lompat melompat dalam parti berterusan. Segala-galanya ada kaitan dengan kuasa.

Ia adalah permainan nombor. Siapa ada jumlah yang lebih, merekalah yang layak membentuk kerajaan dan kerajaan itu sinonim dengan kuasa serta pemerintahan.

Apabila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng semuanya melabelkan kerajaan baharu yang dibentuk oleh Muhyiddin itu sebagai 'kerajaan pintu belakang’.

Tetapi beberapa bulan kemudian apabila Anwar dan selepas itu diikuti oleh Dr Mahathir serta Tengku Razaleigh Hamzah memanggil sidang akhbar untuk mengumumkan yang masing-masing dijangka memperoleh sokongan daripada ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, anehnya itu tidak pula dilabelkan sebagai percubaan untuk membentuk kerajaan menerusi pintu belakang.

Kita rakyat jelata akhirnya menjadi keliru atau lebih tepat lagi 'mangsa keadaan’.

Majoriti rakyat undi parti lain untuk membentuk kerajaan tetapi setelah kerajaan dibentuk, wakil-wakil rakyat sesama sendiri membuat percaturan dan perhitungan lain di Dewan Rakyat.

Tetapi nak salahkan mereka (ahli politik) sepenuhnya pun tidak boleh kerana undang-undang membenarkan mereka berbuat demikian menerusi undi tidak percaya atau menerusi siapa yang punya jumlah kerusi yang lebih di dewan.

Maka 'tawar-menawar’ pun berlaku untuk lompat parti atau ubah sokongan.

Jadi, siapakah yang sebenarnya mempunyai kuasa mutlak untuk membentuk dan menentukan kerajaan mahupun pelantikan Perdana Menteri selepas sesuatu pilihan raya?

Rakyatkah atau 222 ahli Parlimen? Jawapannya adalah bukan kita para pengundi tetapi wakil-wakil rakyat.

Kita hanya 'menghantar’ wakil kita ke dewan. Keputusan mutlak mereka yang tentukan.

Sudahlah kita hanya mengundi sekali dalam lima tahun dan yang kita undi itu pula adalah wakil parti bukan calon Perdana Menteri pun.

Parti yang menang nanti yang akan menentukannya.

Hakikatnya selepas tugas kita selesai sebagai pengundi, orang yang kita pilih untuk berada di dewan itulah yang menjadi power broker dan 'raja’ yang bakal menentukan masa depan kerajaan dan juga calon Perdana Menteri.

Kita sudah pun menjadi saksi atas apa yang telah berlaku selepas Pilihan Raya ke-14 (PRU14).

Oleh kerana kuasa menjadi broker itu sangat besar, ahli-ahli politik khususnya wakil rakyat tidak mahu menghalang drama lompat melompat ini daripada terhenti.

Sebaliknya, jika mereka serius tidak mahu ini semua berlaku, ayuh buatlah sesuatu.

Pinda undang-undang atau cipta satu undang-undang baharu yang mengharamkan wakil rakyat lompat parti sebaik sahaja dipilih pada pilihan raya, tidak kiralah Pilihan Raya Kecil (PRK) atau PRU.

Lagi pun, perbuatan lompat parti ini adalah mengkhianati amanah yang diberikan oleh pengundi-pengundi.

Ini kerana para pengundi mengundi wakil rakyat yang mewakili parti yang ditandinginya.

Sehingga saat itu tiba, ia akan terus menghantui kita semua kerana undang-undang sedia ada mengizinkannya.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!