Berangan jadi ‘Man Kidal junior’
"HAHAHA, nak menggunting kertas pun susah, ada hati nak main gitar.”
Kata-kata itu sungguh tajam. Bisanya menusuk kalbu. Terasa hati ini bagai disiat-siat. Mujurlah kata-kata itu datang daripada hati sendiri.
Kalau daripada mulut orang lain, mungkin ada yang hilang kawan lima enam hari.
Ya, hati saya sering bermonolog setiap kali cita-cita yang satu itu melintas di fikiran. Puncanya? Saya antara 10 peratus insan yang dilahirkan istimewa di dunia ini. Saya kidal. Maknanya tangan kiri saya lebih power berbanding tangan kanan.
Atas sebab itulah, jika hendak menggunting sesuatu memang terasa sangat payahnya. Dan atas sebab itulah juga setiap kali cita-cita untuk menjadi pemain gitar terkenal melintas di fikiran, hati saya cepat-cepat membantah.
Cepat-cepat ia mengingatkan diri supaya menginsafi hakikat yang saya ini kidal. Saya faham juga orang kidal sangat kreatif serba-serbi.
Minat saya terhadap gitar memang mendalam. Waktu masih kanak-kanak, asal ada peluang sentuh gitar tidak kira siapa yang punya, saya sudah terasa seperti di awang-awangan. Dapat sentuh bodynya hujung-hujung jari pun cukup.
Kalau dapat sentuh talinya, petik sekali dua, lagilah syahdu. Kemudian semalam-malamanlah saya berangan 'menggoreng’ petikan di pentas pertunjukan, di hadapan ribuan penonton yang bersedia membayar mahal untuk menyaksikan persembahan saya.
Berangan itu percuma. Kalau kena duit sudah tentu ramai anak bangsa saya jatuh miskin. Tetapi di sebalik minat itu saya juga sedar masalah yang saya hadapi.
Gitar yang saya biasa tengok, waima gitar mainan sekalipun dibuat untuk orang yang tidak kidal. Sekarang di internet berlambak gitar yang dijual untuk tangan kidal.
Gitar-gitar kanan itu, kalau dikepit oleh orang kidal akan segera kelihatan pelik, manakala yang mengepitnya pula akan berasa kekok.
Pada masa itu tidak ada YouTube. Tidak ada guru atas talian. Kalau hendak belajar se-suatu kena masuk kelas atau kena beli buku panduan bermain gitar.
Atau paling mudah, belajar daripada kawan. Satu lagi kaedah adalah dengan menyertai kursus gaya pos, di mana anda akan dikirimkan buku dan nota berkaitan apa yang dipelajari.
Bagi budak kampung macam saya, cara terbaik tentulah dengan membeli buku panduan bermain gitar. Paling canggih buku panduan ini akan berada di mana-mana kedai mamak di ceruk kampung. Tetapi segala apa yang di-ajar dalam buku itu, tentang kord, tentang E, A, D, G, B, dan E adalah untuk orang yang bukan kidal.
Belajar
Maknanya, kalau orang kidal hendak belajar berpandukan buku itu memang tidak akan menjadi. Terpaksa menukar susunan tali.
Namun, di sebalik kepayahan itu saya tahu ia bukan mustahil. Sebab itu apabila agak besar, apabila semakin mengenali dunia hiburan, saya tahu ramai rupanya gitaris yang kidal.
Kalau antarabangsa seperti Jimi Hendrix, Kurt Cobain, Paul McCartney. Fuh! Bangga betul saya apabila mengetahui tentang perkara itu.
Dengan itu juga semangat saya pun semakin meluap-luap.
Kemudian muncul nama Man Kidal dan Lefthanded. Bukan sahaja beliau bermain gitar dengan tangan kiri, beliau juga diingati dengan aksinya bermain gitar menggunakan gigi!
Saya mula berangan, nama saya Budiman, sajaklah jadi Man Kidal Junior. Siang malam saya mula berangan hendak menjadi seperti Man Kidal.
Memang minat habis sehingga ada masanya kalau bersendirian, jauh daripada orang, saya bergaya memetik gitar ala-ala Man Kidal.
Malah, gaya saya lebih hebat daripada gaya dia. Lengkap dengan teleng-teleng dan senget-senget. Umur 15 tahun. Tingkatan Tiga. Dalam sibuk bersiap sedia menghadapi tahun SRP itu, saya beli gitar tong.
Harganya tidaklah mahal mana bagi orang yang berduit tetapi bagi budak sekolah macam saya, jumlah itu bukanlah sedikit. Tetapi saya puas hati. Bangga tidak terungkap sebaik sahaja duit dan gitar bertukar tangan.
Kembang habis kepala, muka, hidung, telinga semasa melangkah keluar dari premis yang menjual gitar itu.
Saya masih ingat lagu pertama yang saya belajar bermain gitar adalah lagu kumpulan Gingerbread – Kau Ku Rindukan.
Kord Am, E dan Am kembali untuk lirik 'Telah lama ku pendam rindu’. Namun itulah sahaja kord yang saya boleh main sehingga kini. Payahnya belajar bermain gitar dengan tangan kiri.
Sama seperti basikal pertama saya dahulu, gitar itu juga saya jaga dengan penuh kasih sayang. Ada masa-masanya saya rasa ia lebih kerap dilap daripada dipetik.
Bila datang ‘gilanya’ tengah-tengah malam pun bangun lap. Dalam pada itu curi petik juga perlahan-lahan sekadar untuk melepaskan gian. Syok sendiri.
Tetapi adegan lap mengelap itu sebenarnya tidak lama. Hanya tiga empat hari.
Selepas itu mula lap berselang hari, kemudiannya berselang minggu dan akhirnya sampai ke peringkat tidak ingat bila kali terakhir mengelapnya.
Sampailah gitar itu tersepok di bawah katil.
Saya gigih mahu belajar bermain gitar. Jumpa sahaja abang senior yang pandai bermain gitar, terus menuntut.
Masalah besar semua yang pandai bermain gitar bukan dengan tangan kidal. Praktikal hancur, namun faham juga istilah plucking, strumming dan macam-macam lagi.
Pendek kata kalau disuruh berceramah pun memang tidak ada masalah.
Demikian hebatnya keyakinan diri walaupun saya sedar petikan gitar semakin tidak menjadi. Namun dalam keadaan begitu saya selalunya menyalahkan tali.
Kepandaian memetik gitar menjadi aset utama untuk menarik perhatian pelajar perempuan di sekolah.
Selain daripada itu ciri-ciri seperti handsome, pandai, atlet harapan sekolah, pemidato unggul, pembahas hebat atau memiliki sebarang bakat dan kebolehan istimewa – pandai melukis, pandai menyanyi, pandai bermain muzik dan seumpamanya akan turut diberi perhatian.
Saya tidak memiliki tiga yang pertama, kalau handsome pun terlalu kecil peratus kehandsomemannya.
Saya juga tidak pandai melukis tetapi selain daripada semua itu, andainya saya memiliki kebolehan bermain gitar, bayangkanlah apa yang terjadi.
Saya rasa seluruh anak gadis Sungai Besar mahu membawa saya balik ke rumah dan memperkenalkan kepada ibu bapa masing-masing yang saya ini calon menantu mereka.
Itu yang saya rasa. Apa yang mereka rasa, saya tak kisah. Bayangkan pula kalau sekarang saya menjadi SUPOL yang pandai bermain gitar.
Tentunya setiap malam saya menganjurkan konsert saya sendiri di media sosial. Berangan itu percuma.#dush!
*Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!