Kita terperangkap dalam kehidupan

A
A
A

PAGI kelmarin status Mat Khalaz melintas di laman Facebook saya. Sudah lebih 30 tahun saya tidak bertemu dengannya.

Mat Khalaz ialah teman sekampus yang suka masuk hutan. Ketika zaman remajanya, dia rajin masuk hutan mengikut abangnya mencari madu lebah tualang.

Sebab itu, dia akan mengepalai ekspedisi masuk ke hutan pada zaman kampus dahulu.

Bila masuk hutan, Mat Khalaz akan tenggelam dengan alamnya. Dia lebih banyak mendengar daripada bercakap. Segala macam bunyi akan menarik perhatiannya.

Kadang-kala apa yang dia dengar, kami tak dengar pun. Desir angin, rintik hujan dan bunyi binatang akan membuat dia terpaku.

Kami pun akan membatukan diri seketika sebelum ikutnya melangkah kembali.

Katanya, hutan adalah alam binatang dan jin. Dia cukup marah jika kami berbuat sesuatu yang boleh mengganggu kedua-dua jenis makhluk itu seperti menjerit, ketawa ikut suka, membuang air di merata tempat atau bercakap sesuka hati, sebab perangai tak semenggah itu dikatakan akan mengganggu makhluk jin yang berada di sesuatu tempat.

Fokus dan peka dengan suasana sekeliling. Itulah Mat Khalaz. Saya pernah terbaca bagaimana kaum Red Indian boleh meramal hujan hanya dengan mendepakan tangannya ke langit.

Artikel Berkaitan:

Mereka boleh menghidu bau binatang buas yang berada jauh. Begitu juga mereka boleh mendengar apa yang akan muncul hanya dengan melekapkan telinga mereka ke tanah.

Pancaindera. Inilah aset yang digunakan oleh manusia dahulu secara maksimum.

Deria mereka akan peka menangkap bunyi, bau dan rasa kerana mereka dikelilingi alam.

Bunyi desiran ombak, angin yang menyapu daun, embun di rumput dan rasa halus pasir di tapak kaki adalah pengalaman harian.

Begitu juga bau buah sama ada masak atau tidak, dapat diketahui hanya dengan menghidu di kulit buah. Dan yang penting, rasa sesuatu daun sama ada boleh dimakan mahupun beracun boleh diagak dengan merasa jenis pahit atau kelatnya.

Begitulah, pancaindera membolehkan manusia bermesra dengan alam sekelilingnya.

Pada hari ini kita dikelilingi dengan segala bentuk pengaruh buatan manusia.

Cahaya yang menyentuh tubuh di pagi hari bukannya cahaya mentari, sebaliknya cahaya lampu di bilik tidur.

Tiada lagi bunyi angin menyapu de-daun, sebaliknya bunyi angin yang berhembus daripada alat pendingin hawa.

Bunyi hujan yang turun pun didengar daripada air hujan dari pili air di bilik mandi. Begitu juga, kaki tidak lagi menyentuh rumput di halaman tetapi menyapu karpet.

Tiada lagi pengalaman yang datang terus dari alam. Semuanya yang palsu hasil buatan manusia.

Lebih malang lagi bila semakin banyak elemen buatan manusia itu datang secara mengasak dan memaksa.

Bunyi kapal terbang, kenderaan di lebuh raya, hon kereta api, daripada televisyen, komputer dan telefon, malah bunyi siulan cerek air yang masak itu muncul dan membingit telinga. Kita tidak selalu dapat melihat alam kecuali hutan-hutan batu.

Begitu juga segala rasa hidangan yang baharu itu sebenarnya suatu eksperimen pada lidah, bukan lagi menyajikan apa yang menjadi makanan kesukaan.

Elemen alam semula jadi yang lazimnya berubah dan datang secara perlahan telah diganti dengan alam sintetik yang biasanya cepat dan mengasak.

Matahari terbit secara perlahan, lampu dipetik sudah bernyala. Hujan turun rintik-rintik, air di pili menyembur, menjirus.

Bunyi hujan, angin dan ribut sekalipun ada tempoh masanya, sedangkan bunyi di sekeliling kita pada hari ini sentiasa kedengaran hingga mengganggu tidur.

Nicholas Carr, penulis buku The Shallows: What Internet is Doing to our Brain merumuskan manusia pada hari ini menghadapi masalah untuk fokus.

Dr Glenn Wilson dari London Institute of Psychiatry pula berkata, gangguan yang berterusan terhadap seseorang memberi kesan kepada tidurnya.

Yang jelas, gangguan fokus terhadap manusia hingga mengakibatkan stres bukannya datang daripada alam semula jadi.

Soalnya, apakah kita sedar akan hal ini? Bilakah kita hendak kembali menghampiri alam?

Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi penghalang, apakah kita kini terperangkap?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!