Sungai Kuang bertukar warna, bau najis
IPOH - Penduduk Kampung Ulu Kuang meluahkan kebimbangan terhadap Sungai Kuang yang kini tidak sejernih dahulu kerana dipercayai disebabkan pencemaran yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Seorang penduduk, Huzaimah Aziz, 60, berkata, sebelum ini sungai tersebut menjadi sumber air utama kepada penduduk untuk kegunaan harian seperti membasuh pakaian dan menangkap ikan tetapi sejak tiga tahun lalu ia tidak lagi digunakan seperti biasa.
Menurutnya, pada hari tertentu air tersebut menjadi kehitaman dan berbau busuk seperti najis haiwan dipercayai berpunca daripada sisa ternakan yang dilepaskan ke sungai tersebut.
"Kadang-kadang kalau tak ada air memang penduduk akan turun di sungai ini untuk guna air. Ikan pun banyak sebelum ini malah ramai penduduk termasuk orang asli yang cari ikan di sungai ini.
"Dulu ada yang cuba mandi dan guna air sungai ini tapi apabila badan jadi gatal-gatal, tak ada siapa berani nak mandi lagi," katanya kepada pemberita selepas ditemui di rumahnya di Kampung Ulu Kuang di sini pada Selasa.
Bagi Roshdi Rawi Suid, 49, pula, Sungai Kuang itu sebelum ini menjadi sumber rezeki sampingan kepadanya kerana ikan di situ menjadi makanan untuk keluarga tetapi kini tidak lagi.
Menurutnya, dengan harga ayam dan ikan yang semakin meningkat ketika ini, memang dia berhasrat untuk kembali ke sungai tersebut mencari ikan tetapi malangnya ikan berkurangan.
Jelasnya, selain itu tidak ramai yang berani mengambil risiko untuk turun ke sungai tersebut kerana mereka akan gatal-gatal disebabkan pencemaran tersebut.
"Dulu saya pernah tangkap ikan di sungai ini untuk buat pendapatan sampingan tetapi sekarang ini nak tangkap ikan pun tak boleh sebab ikan dah hampir tak ada, selain itu kalau kita masuk dalam sungai jadi gatal-gatal.
"Jadi putuslah sumber rezeki tambahan di sungai ini. Antara ikan yang ada di dalam sungai ini seperti baung, keli, sebarau dan lain-lain lagi," katanya.
Menurutnya, selain warna air sungai yang bertukar keruh, penduduk juga berdepan bau busuk najis haiwan setiap kali sisa dialirkan ke sungai berkenaan.
Dia turut meminta pihak berkaitan menyiasat punca pencemaran tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan sungai tersebut tercemar.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Hamdan Ishak berkata, masalah pencemaran sungai yang dipercayai disebabkan buangan sisa haiwan itu pernah dilaporkan kepada beberapa jabatan berkaitan.
Katanya, bagaimana pun sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil bagi mengatasi masalah tersebut dan perkara itu sangat membimbangkan penduduk kampung.
"Sungai ini dahulunya digunakan untuk mandi-manda, beberapa keperluan lain dan tangkap ikan. Tetapi sekarang susah nak jumpa orang tangkap ikan di sini. Masih ramai penduduk yang masih menggunakan sungai ini sebagai tempat mandi dan beriadah.
"Pencemaran air yang teruk ini dikesan sejak dua tiga tahun yang lalu. Air sisa haiwan dibuang pada sebelah pagi menyebabkan petang penduduk ramai tak puas hati," katanya.
Sebagai wakil JPKK kampung tersebut, Hamdan berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah pencemaran itu supaya sungai tersebut dapat digunakan kembali.
Katanya, semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dan sebarang sisa tidak boleh dilepaskan ke sungai ini begitu sahaja tanpa dirawat kerana menjejaskan kehidupan penduduk selain menyebabkan hidupan lain hampir pupus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!