'Nyawa tidak boleh diganti, kenakan hukuman setimpal'
KUANTAN - Keluarga mangsa kemalangan, Muhammad Akmal Hakim Misnan, 22, yang maut dirempuh pemandu mabuk akan mengambil tindakan undang-undang kerana mahu pelaku dikenakan tindakan setimpal.
Kakak mangsa, Nur Suhaili Misnan, 31, berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu namun hati masih tidak tenang selagi pelaku tidak dijatuhi hukuman.
Menurutnya, perbuatan pelaku memandu dalam keadaan mabuk sengaja mengundang kecelakaan kepada orang lain.
"Kami masih tidak percaya perkara ini berlaku pada adik saya. Nyawa adik saya tidak boleh diganti dan saya sekeluarga mahu pelaku dikenakan hukuman setimpal di atas perbuatannya," kata Nur Suhaili.
"Perbuatan pelaku itu mengheret mereka yang tidak berdosa dengan kesalahannya. Saya pasti akan ambil tindakan saman untuk memberi pengajaran kepada pelaku," katanya ketika dihubungi pada pagi Rabu.
Pada Isnin, motosikal yang ditunggangi arwah dirempuh oleh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki mabuk dalam kejadian di Jalan Sungai Lembing, kira-kira jam 1.10 pagi.
Anak ke enam dari tujuh beradik itu bekerja di sebuah di sebuah kilang di kawasan perindustrian Gebeng di sini disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada bahagian kepala.
Mangsa ketika itu dalam perjalanan dari membaiki motosikal di rumah kawannya di Indera Mahkota menghala ke rumah ahli keluarganya di Kampung Padang.
Menurutnya, arwah sepatutnya bekerja pada hari terbabit namun tidak dapat bekerja kerana mengalami luka-luka akibat terjatuh motosikal sebelum berlaku kemalangan maut itu.
"Pada Ahad, arwah ada menghubungi saya untuk memberitahu yang dia ke rumah kawannya untuk membaiki motosikal dan akan pulang setelah siap kerja-kerja membaiki.
"Bagaimanapun saya terkejut apabila mendapat tahu adik saya meninggal dunia dilanggar pemandu mabuk awal pagi Isnin," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Pemandu mabuk rempuh penunggang motosikal ditahan
Dia memberitahu, arwah tidak sempat bertemu dengan ibu, Janhnilawati Abdullah Sani,55, walaupun berulang kali menyatakan kerinduan itu kepada rakannya.
Nur Suhaili merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik mengakui melihat banyak perubahan sikap Muhammad Akmal Hakim yang dilihat kurang gemar bergambar.
Katanya, malah arwah banyak memadam banyak gambar yang dimuatnaik di dalam laman sosial.
"Kalau sebelum ini, arwah suka sangat bergambar, tapi sejak beberapa hari lalu saya tengok (arwah) memadam gambarnya di Facebook, Instagram dan kerap menyatakan kerinduan terhadap ibu.
"Rupanya itu adalah petanda untuk tinggal saya sekeluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!