68 kaki judi ditahan
MELAKA - Seramai 68 individu termasuk sembilan wanita ditahan ketika leka berjudi dalam Op Limau yang dijalankan sepanjang bulan lalu.
Operasi yang diadakan di sekitar negeri ini sejak 1 hingga 28 Februari lalu turut merampas wang pertaruhan berjumlah RM24,852.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 35 hingga 79 tahun.
Menurutnya, operasi itu bukan hanya menyasarkan premis kedai malah turut menyerbu kediaman yang menjalankan aktiviti berkenaan.
"Ketika serbuan, ada di antara mereka bukan hanya leka berjudi malah siap menjamu selera," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, operasi dan serbuan ke lokasi sasaran giat dijalankan dalam usaha polis membanteras aktiviti perjudian terutamanya pada musim perayaan.
"Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi dalam bangunan dan jika disabitkan kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua duanya sekali," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!