Syor kenderaan ekzos kuat dilarang masuk Teluk Cempedak
KUANTAN - Pertubuhan Anak Muda Teruntum (Permat) mencadangkan kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) supaya melarang kenderaan ekzos kuat memasuki kawasan peranginan Teluk Cempedak.
Pengerusinya, Anaz AbMoris berkata, cadangan itu dibuat kerana ia mendatangkan pencemaran bunyi dan mengganggu orang ramai.
"Kita harap MBK boleh pertimbangkan cadangan ini demi kepentingan pengunjung di Teluk Cempedak dan pelaksanaan penguatkuasaan itu boleh dilakukan terhadap pemilik ekzos kuat.
"Justeru, kami berharap MBK dapat terus mengiatkan pelbagai usaha yang mampu merubah landskap di sekitar Bandaraya Kuantan sesuai dengan naik taraf bandar raya yang baru diisytiharkan, tahniah dan syabas sekali lagi MBK," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Anaz turut memuji tindakan MBK yang mahu menjadikan kawasan Teluk Cempedak sebagai kawasan zon bebas asap rokok.
Katanya, langkah itu mampu memberi keselesaan kepada semua pengunjung, sekali gus dapat meningkatkan nama Teluk Cempedak.
"Langkah ini sepatutnya sudah lama dilakukan oleh MBK kerana dapat dilihat di Teluk Cempedak begitu banyak puntung rokok bertaburan akibat perbuatan segelintir warga yang tidak bertanggungjawab.
"Jadi, selepas ini, Teluk Cempedak akan terpelihara dengan pelaksanaan zon bebas asap rokok," katanya.
Selain itu, beliau berharap minuman keras juga dilarang kerana minuman itu tidak membawa sebarang faedah kecuali memudaratkan masyarakat dan alam sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!