Pemilik restoran didenda RM1,500, tak daftar Perkeso
KUALA TERENGGANU -[DIKEMASKINI] Seorang pemilik restoran didenda RM1,500 di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku salah gagal mendaftar perusahaan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sejak 2019.
Tertuduh, Zulkalmul Hakem Mat Zin, 33, turut berdepan dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku majikan utama didakwa gagal mendaftar perusahaan dengan Perkeso dalam tempoh tidak lewat daripada 30 hari selepas tarikh akta ini diguna pakai iaitu apabila perusahaannya menggaji seorang pekerja bermula 1 Januari 2019.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 94 (g) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta yang sama di restoran miliknya di Kuala Terengganu pada 1 Oktober 2019, kira-kira jam 12.55 tengahari.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh hendaklah dihukum dengan pemenjaraan sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perkeso Terengganu, Safarul Faizam Salleh di hadapan Majistret Norina Maludin dan tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Terdahulu, tertuduh merayu agar hukuman denda terhadapnya diringankan kerana perniagaannya terjejas disebabkan Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!