Ahmad Zahid minta ahli parti berlapang dada
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta kesemua ahli partinya untuk berlapang dada dan memainkan peranan dalam memberikan bantuan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau percaya sebahagian rakyat yang menolak partinya dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sudah mula sedar terhadap pembohongan yang dilakukan oleh parti lawan.
Menurutnya, ini kerana kesan yang dirasai mereka akibat daripada kekalahan UMNO dan BN pada pilihan raya lalu terhadap keadaan ekonomi, politik dan sosial negara adalah jelas.
“Selepas lebih tiga tahun berlalu, kini kita mempelajari apakah maknanya apabila UMNO dan BN tidak lagi mengemudi pentadbiran negara.
“Kebajikan rakyat, keadaan ekonomi, kedaulatan undang-undang, hubungan kaum, keluhuran Perlembagaan, amalan demokrasi tidak perlu diungkap satu persatu.
“Akan tetapi saya percaya sebahagian rakyat yang pernah menolak kita pada PRU14 juga telah menyedari natijahnya walau masih ada segan dan silu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Beliau bagaimanapun meminta ahli partinya supaya lebih cermat dan tahu membezakan antara pihak yang benar-benar mahu bersama dan juga mereka yang hanya mahu mengambil kesempatan.
“Kini peranan kita adalah berlapang dada. Sedangkan lidah lagi tergigit. Hulurkan tangan kepada mereka. Kembali berpadu atas nama kebenaran.
“Tetapi jangan disamaertikan rakyat dengan katak si katak lompat. Jangan disamakan mangsa dengan pemangsa,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, usaha untuk memperdayakan rakyat didapati masih terus berlaku ketika ini apabila ada pihak cuba mengaburi masyarakat sehingga sanggup melakukan perbuatan yang beliau istilahkan sebagai ‘membeli-belah’ demi untuk kekal berkuasa.
“Kini mereka cuba lakukan apa sahaja untuk mengaburi mata rakyat hatta 'membeli belah' sana sini demi mempertahankan kuasa.
“Namun rakyat kian celik dan pada akhirnya mereka terpaksa kembali bertemu jua dengan kita dalam penentuan PRU15,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!