Batu 'terbang' ancam nyawa
SEREMBAN - Aktiviti kuari berhampiran Taman Panchor Jaya Fasa 7 dan 8 di sini, yang didakwa sudah beroperasi 20 tahun kini meresahkan penduduk.
Dalam kejadian 15 Januari lalu, mereka dikejutkan dengan insiden batu 'terbang' menyebabkan bumbung rumah dan tangki air rumah penduduk pecah.
Pengerusi Persatuan Penduduk taman itu, Mohamad Muazam Shah Mohd Idris, 48, berkata, jika selama ini mereka masih boleh bersabar, tetapi insiden terjadi bulan lalu sangat membimbangkan jika terus dibiarkan.
"Kami dah tak tahan lagi. Dah banyak aduan dibuat kepada pihak berkaitan, tapi nampaknya tidak berkesudahan dan sebab itu kami terpaksa menghubungi media.
"Bayangkan batu besar 'terbang' masuk ke dalam rumah dan terkena pula penduduk yang mengancam keselamatan kami," katanya.
Menurutnya, susulan kejadian itu, mereka membuat laporan polis dan aduan kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang kemudian turun membuat lawatan, manakala pengusaha kuari itu segera membaik pulih rumah penduduk yang terjejas.
Namun Mohamad Muazam berkata, mereka tetap mahukan operasi kuari berkenaan dihentikan kerana khuatir jika berterusan akan memberi kesan lebih buruk.
"Paling ketara ialah pergerakan tanah kerana hampir semua 140 unit rumah di sini retak sehingga ada yang terpaksa keluarkan kos sendiri untuk membaik pulih rumah," katanya.
Bagi seorang penduduk, Mazli Abu Bakar, 40, dia tidak menyangka keseronokan tinggal di rumah sendiri kini hilang apabila pintu dan bumbung rumahnya 'renggang' dipercayai akibat gegaran itu.
Katanya, keadaan itu mengakibatkan rumahnya bocor setiap kali hujan selain berhabis ribuan ringgit untuk memperbaiki kerosakan.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah yang dialami di kawasan perumahan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!