Bapa kanak-kanak lemas dalam besen reda

Wan Farhan reda dengan pemergian anak bongsunya. Sophia disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi Rabu selepas dirawat di HPP.
Wan Farhan reda dengan pemergian anak bongsunya. Sophia disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi Rabu selepas dirawat di HPP.
A
A
A

GEORGETOWN - Bapa kepada kanak-kanak perempuan yang maut selepas lemas dalam besen di rumah pengasuhnya reda dengan pemergian anak bongsunya itu.

Wan Farhan Danial Wan Azmi, 26, berkata, walaupun sedih dengan kejadian itu, dia dan keluarganya tidak menyalahkan wanita yang juga pengasuh anaknya ke atas insiden yang berlaku.

"Sudah semestinya sedih tetapi kami reda dengan kejadian yang menimpa Sophia Fatehah. Saya tidak menyalahkan pengasuh sebab kami sekeluarga dah lama kenal dia.

"Dia menjaga Sophia sejak lahir malah anak sulung saya yang berusia enam tahun juga dalam penjagaannya sejak berusia enam bulan lagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Rabu.

Menceritakan kejadian tersebut, Wan Farhan berkata, dia menerima panggilan daripada pengasuh Sophia kira-kira jam 1 tengah hari, Selasa ketika berada di HPP untuk mendapatkan laporan perubatannya.

Menurutnya, pengasuh Sophia memaklumkan anaknya itu tidak sedarkan diri selepas lemas di dalam bilik air lalu membawanya ke HPP untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Selepas mengetahui kejadian itu, saya terus ke wad yang menempatkan Sophia. Saya ada berbual dengan pengasuh dan dia mendakwa ketika kejadian, dia sedangkan memandikan Sophia.

"Bagaimanapun, dia meninggalkan anak saya di dalam besen (sekejap) untuk mengambil tuala. Ketika dia kembali semula ke dalam bilik air, dia mendapati Sophia sudah tidak sedarkan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, wanita tersebut cuba memberikan bantuan awal terhadap Sophia sebelum membawanya ke HPP untuk rawatan lanjut.

"Baru semalam saja jumpa Sophia dan tidak sangka sama sekali kami akan kehilangannya pada hari ini. Dia baru seminggu pulang ke rumah selepas seminggu dirawat di HPP.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas pada jam 3 petang, Selasa.

Menurutnya, mangsa yang berusia setahun lima bulan berada dalam keadaan kritikal selain berada di bawah pemantauan pakar ketika dirawat di HPP dan disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi, Rabu.

Tambahnya, susulan daripada itu, polis menahan wanita berusia 43 tahun itu pada jam 12 tengahari bagi membantu siasatan.

"Permohonan reman terhadap wanita tersebut (pengasuh) akan dijalankan bagi melengkapkan siasatan. Proses bedah siasat mangsa akan dijalankan pagi esok (Khamis) selepas 'swab test' Covid-19 dijalankan.

"Siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti jika ada sebarang unsur jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selari bersama mati mengejut ( SDR)," katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai kejadian, Anbalagan berkata, suspek telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak selain mengenali ibu mangsa sejak dari sekolah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek telah mengisi air di dalam besen sehingga hampir penuh untuk mandikan mangsa pada jam 11 pagi.

"Ketika itu, suspek baru teringat yang dia terlupa untuk mengambil tuala lalu pergi mengambilnya lebih kurang jarak 10 langkah dari bilik air.

"Apabila kembali semula ke bilik air, dia mendapati kepala mangsa telah tenggelam dengan hampir separuh badan berada di dalam air (dalam besen) manakala kakinya di luar besen," katanya.

Jelasnya, suspek segera mengalihkan mangsa dari besen dan ketika itu mangsa masih dalam keadaan sedar.

"Suspek yang tidak mengesyaki apa-apa terus memakaikan lampin pakai buang dan menidurkan mangsa namun selepas 30 minit, suspek mendapati mangsa dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

"Suspek kemudiannya terus menghubungi talian kecemasan untuk bantuan dan pada masa sama, cuba membuat bantuan pernafasan (CPR ) terhadap mangsa. Ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 12.15 tengahari," katanya.

Anbalagan berkata, tiada saksi lain yang melihat ketika mangsa lemas.

"Mangsa anak bongsu kepada pasangan suami isteri yang berusia 26 dan 25 tahun.

"Kedua-duanya bekerja sebagai juruteknik dan operator kilang di Bayan Lepas," katanya.

Ends.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!