Upah RM10,000 bawa dadah dari pantai timur
SHAH ALAM - Kegiatan 'transporter' yang ditugaskan mengambil bekalan dadah dari pantai timur semenanjung dengan upah RM10,000 sebelum diserahkan kepada pengedar di Lembah Klang akhirnya terbongkar dengan penahanan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes itu.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 25 hingga 38 tahun diberkas dalam serbuan berasingan di Serdang dan Ampang, Selangor bermula jam 9 pagi, Jumaat lalu.
Menurutnya, serbuan pertama di Serdang bertindak menahan sebuah kereta jenis Naza Citra yang dipandu seorang lelaki dan pemeriksaan dalam kereta terbabit menemui satu beg kanvas berisi 10 bungkusan dadah jenis syabu.
"Susulan itu, dua lelaki yang berperanan sebagai transporter atau penghantar itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Serdang.
"Soal siasat kemudian membawa serbuan ketiga di Ampang dengan penemuan tiga beg kanvas berisi 60 bungkusan syabu dalam sebuah kereta Perodua Myvi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu.
Arjunaidi berkata, kesemua dadah seberat kira-kira 69 kilogram (kg) itu bernilai RM3.1 juta.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati dua suspek yang ditahan dalam serbuan kedua itu dipercayai menerima upah RM10,000 bagi satu trip untuk membawa dadah dari negara jiran melalui pantai timur semenanjung dengan menaiki kereta.
"Dadah itu kemudian diserahkan kepada suspek lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang," katanya.
Tambahnya, polis percaya kumpulan berkenaan aktif sejak awal tahun ini dan siasatan masih dijalankan untuk mengesan ahli sindiket yang lain.
Arjunaidi memberitahu, kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!