Cuaca panas kering, JAS ingatkan hindar pembakaran terbuka
KUALA TERENGGANU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu mengingatkan orang ramai termasuk pihak industri supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, susulan cuaca panas kering yang dijangka berlarutan sehingga pertengahan Mac ini.
Pengarahnya, Ramli Abd Rahman berkata, cuaca panas kering akan menyebabkan taburan hujan berkurangan.
Menurutnya, pembakaran terbuka ketika ini boleh menjejaskan kualiti udara serta kesihatan awam.
"JAS Terengganu sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka sejak 9 Februari lalu bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan untuk menangani aktiviti pembakaran terbuka ini.
"Tindakan undang-undang mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dikenakan kepada mana-mana individu atau pihak yang dikesan melakukan pembakaran terbuka.
"Bagi kesalahan itu, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM2,000 atau tindakan mahkamah dengan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, sepanjang tahun lalu, 159 pembakaran terbuka direkodkan di negeri ini, manakala 168 kes direkodkan pada tahun 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!