Hubungan Amanah-PKR Selangor kukuh
SHAH ALAM - Hubungan politik antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor masih kukuh walaupun terpalit dengan isu kepimpinan lompat parti.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketegangan isu berkenaan dalam koalisi itu merupakan perkara biasa malah pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.
Beliau berkata, PH Selangor akan cuba mempertahankan hubungan baik antara parti komponen dengan mengambil kira kerangka kerja menyeluruh.
"Semangat dalam PH dan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini adalah untuk berbincang dengan baik dalam situasi yang berbeza.
"Pada 2008, dua tiga kali PR hampir berpecah tetapi kemampuan kita membuat keputusan itu yang menjadi kekuatan. Kepercayaan dalam perbincangan itu yang membuahkan hasil dalam perhubungan," katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Smart Selangor C5i Centre, pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah dari Johor dan Selangor yang berhasrat keluar parti untuk menyertai PKR.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud merangkap Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional Amanah.
Mengulas mengenai isu berkenaan, Siti Mariah berkata, pihaknya berpendapat tindakan dua ADUN Amanah di Selangor itu hanya untuk kepentingan diri semata-mata.
"Dua ADUN ini sebenarnya tidak boleh bersama dan mempunyai masalah dengan akar umbi Amanah di peringkat kawasan. Sudah nama mereka mungkin tidak akan tercalon untuk pilihan raya akan datang.
"Jadi, dengan menyertai PKR, mereka mungkin beranggapan boleh tersenarai untuk bertanding di kawasan itu selepas ini," katanya.
Tegas Siti Mariah, Amanah Selangor juga kekal dengan pendirian bagi mempertahankan kerusi ditandingi mereka dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Kita akan tetap meletakkan calon-calon di kerusi yang ditandingi sebelum ini," katanya.
Dua wakil rakyat Amanah di Selangor yang dilaporkan lompat parti sebelum ini adalah ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ahli Amanah sertai PKR bukan luar biasa'
Amanah, PKR di Johor tidak bergolak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!