Rezeki penghantar makanan OKU terima RM5,000

Bonda Nor (kanan) bersama Rizuam (belakang, dua dari kiri) dan beberapa penghantar makanan ketika pertemuan di Kuala Terengganu.
Bonda Nor (kanan) bersama Rizuam (belakang, dua dari kiri) dan beberapa penghantar makanan ketika pertemuan di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penghantar makanan orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 daripada Akademi Bonda Nor dan speaker Ekspres-i.

Seorang penceramah dan penulis buku dakwah, Norli Madlan, 44, berkata, pihaknya menghulurkan sumbangan itu sebagai tanda penghargaan di atas kerja keras penghantar makanan itu yang dikenali Rizuam.

Norli menggunakan nama pena Bonda Nor memberitahu, beliau tersentuh hati melihat kegigihan Rizuam mencari rumahnya pada minggu lalu untuk menghantar makanan yong tau fu hingga tular di laman sosial.

"Pada minggu lalu, saya ada membuat tempahan yong tau fu sebagai juadah berbuka puasa, namun tempahan itu tidak tiba sehingga waktu Maghrib.

"Saya menerima beberapa kali panggilan daripada Rizuam dan apabila mengangkat telefon, dia sekadar membisu. Saya geram juga kerana pelik dengan tindakannya," katanya.

Susulan itu, Norli terdetik hati untuk membuka aplikasi Grab dan terkejut melihat puluhan mesej diterima daripada Rizuam.

Suami kepada Bonda Nor menyampaikan buku dan wang bernilai RM5,000 kepada Rizuam daripada Akademi Bonda Nor dan speaker Ekspres-i.
Suami kepada Bonda Nor menyampaikan buku dan wang bernilai RM5,000 kepada Rizuam daripada Akademi Bonda Nor dan speaker Ekspres-i.

"Dalam mesej itu, Rizuam beritahu tidak jumpa rumah malah berkata dia seorang pekak dan bisu. Apabila mengetahui keadaan diri Rizuam saya mengucap panjang.

Artikel Berkaitan:

"Rupanya dia hubungi banyak kali berharap saya peka dengan 'chat box' untuk maklum keadaan dirinya seorang OKU. Saya memang tidak biasa guna 'chat box' sebab biasanya rider kalau tak jumpa rumah akan terus hubungi sahaja. Jadi, saya tak boleh jangka kerana inilah kali pertama saya guna khidmat rider OKU," katanya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang bertemu dengan Rizuam untuk menghulurkan sumbangan.

"Alhamdulillah, hari ini dapat sampaikan rezeki Rizuam sebanyak RM5,000, saya juga bagi planner Semangat dan buku Bahagia Tanpa Syarat.

"Begitulah. Rezeki orang gigih dan amanah pada tugas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!