Tiga remaja ditahan disyaki simbah cat merah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki ditahan selepas disyaki menyimbah cat merah pada sebuah rumah diduduki seorang wanita di Taman Nusa Indah di sini malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua mereka yang merupakan tukang masak, tukang gunting rambut serta penganggur berumur antara 17 hingga 18 tahun itu ditahan di sebuah pondok pengawal keselamatan di kawasan perumahan sama pada jam 10.15 malam iaitu kira-kira 10 minit selepas menyimbah cat di rumah wanita tersebut.

“Menurut wanita berumur 42 tahun dan tidak bekerja itu, dia didatangi tiga lelaki pada jam 10.05 malam tadi di hadapan pintu pagar rumahnya.

"Ketiga-tiga lelaki berkenaan kemudian bertindak menyimbah cat berwarna merah ke dalam kawasan rumah dan terkena sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Proton Exora miliknya dengan kerugian dialami dianggar bernilai kira-kira RM500," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dzulkhairi berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit turut meninggalkan sekeping nota berbaur ugutan sebelum beredar dari rumah wanita itu.

Beliau berkata, semasa ketiga-tiga mereka beredar dari rumah wanita itu, mereka sempat ditahan oleh pengawal keselamatan di pondok pengawal kawasan perumahan terbabit.

Menurutnya, bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis yang tiba di pondok pengawal itu, kemudian menahan ketiga-tiga mereka dan merampas sebuah kereta Proton Saga serta dua paket plastik berisi cecair cat berwarna merah.

"Semakan rekod jenayah mendapati masing-masing mempunyai satu rekod lampau, namun ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya negatif dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua mereka kini sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!