Tentera laut terbabit Op Benteng, Penawar terima vaksin

Muhamad Ridzwan mengetuai penerimaan suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin Hospital Angkatan Tentera Lumut (96 HATL) pada Rabu.
Muhamad Ridzwan mengetuai penerimaan suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin Hospital Angkatan Tentera Lumut (96 HATL) pada Rabu.
A
A
A

LUMUT - Pegawai dan anggota tentera laut yang terlibat dalam penugasan Op Benteng dan Penawar akan diberi keutamaan sebagai penerima awal suntikan vaksin Covid-19.

Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Muhamad Ridzwan Abdul Rahman berkata, jumlah itu membabitkan 800 anggota daripada keseluruhan lebih 5,000 orang yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Menurutnya, pemilihan penerima suntikan itu dibuat dengan mengambil kira risiko anggota yang lebih terdedah dijangkiti Covid-19 terutama ketika penugasan di laut dan tangkapan membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Untuk fasa pertama ini memang kita beri keutamaan kepada anggota-anggota yang berada di kapal juga yang berada di markas yang mengendalikan bilik operasi, bilik komunikasi dan sebagainya.

"Berdasarkan peruntukan 800 orang sedia ada itu, memanglah tidak mencukupi, sebab itu kita beri keutamaan kepada yang lebih penting agar dengan vaksin ini mereka lebih terjamin dari segi kesihatannya dan dapat melaksanakan penugasan dengan lebih selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin Hospital Angkatan Tentera Lumut (96 HATL), di sini pada Rabu.

Beliau bersama Panglima Pendidikan dan Latihan, Laksamana Muda Datuk khalid Jaafar; Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Muda Datuk Anuar Alias dan Panglima Logistik Barat, Laksamana Pertama Rozaide Megat Othman antara 36 pegawai kanan TLDM dan anggota yang menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin berkenaan.

Muhamad Ridzwan berkata, pemberian suntikan secara berperingkat itu dijangka mengambil masa tiga bulan untuk diselesaikan, namun pihaknya bercadang untuk mempercepatkan agar boleh dihabiskan dalam masa sebulan atau setengah bulan.

Katanya, setakat ini tidak ada mana-mana pegawai dan anggota yang dikecualikan dalam pengambilan vaksin terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Bagi lain-lain anggota termasuk ahli keluarga, suntikan vaksin hanya dilakukan berdasarkan peruntukan yang akan diterima.

"Perancangannya kita belum dapat dengan jelas bila akan diperuntukkan dan sebagainya, kita kena tunggu hingga fasa satu ini selesai terlebih dahulu," katanya.

Selain pusat pemberian vaksin, 96 HATL Pangkalan TLDM Lumut turut dijadikan pusat simpanan vaksin (PSV) bagi zon utara.

Pegawai memerintah 96 HATL, Brigadier Jeneral Dr Faizal Baharuddin berkata, setakat ini, pihaknya memberi jaminan terhadap isu keselamatan vaksin tersebut dengan sentiasa memantau suhu penyimpanan vaksin seperti ditetapkan.

“Memandangkan hospital di dalam pangkalan, dari segi keselamatan tidak ada apa-apa isu. Di peringkat hospital, kami ada kakitangan yang memang ditugaskan 24 jam untuk pastikan tidak berlaku apa-apa pada stok simpanan vaksin kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!