Trend pasang 'dashcam' satu perkembangan positif- MIROS
KUALA LUMPUR - Trend pemasangan kamera 'dashboard' atau 'dashcam' dalam kenderaan oleh pemilik kenderaan terutama golongan muda sekarang ini adalah satu perkembangan yang positif.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak berkata ia kerana dashcam yang mampu merekodkan pelbagai kejadian di atas jalan raya boleh dijadikan sebagai maklumat tambahan untuk mengenal pasti punca sesuatu kemalangan.
“Contohnya, apabila berlakunya satu kemalangan, pada mulanya ia dikatakan terjadi kerana kecuaian pemandu. Namun selepas siasatan dibuat melalui rakaman dashcam, kita mendapati kemalangan berlaku kerana faktor lain seperti tayar meletup sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Pemasangan dashcam juga selari dengan usaha MIROS dan Kementerian Pengangkutan untuk menggalakkan masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat termasuk berkaitan kemalangan jalan raya, katanya.
Pada 20 Jan lepas, satu kemalangan ngeri di Km4.0 Jambatan Pulau Pinang yang mengorbankan seorang penuntut kolej swasta Moey Yun Peng, 20, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 dipandunya dilanggar sebuah kereta lain jenis Toyota Vios, yang mana video rakaman dashcam kejadian itu tular dalam laman sosial.
Baru-baru ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun menyedari akan kebaikannya, namun kerajaan belum mempunyai cadangan untuk mewajibkan pemasangan kamera itu pada setiap kenderaan di Malaysia kerana tidak mahu membebankan rakyat.
Namun, Anthony memuji usaha pemilik kenderaan yang mengambil inisiatif sendiri memasang dashcam pada kenderaan mereka.
Dalam pada itu, Siti Zaharah berkata dashcam juga wajar dipasang pada kenderaan keselamatan seperti ambulans, kereta peronda polis dan jentera bomba kerana ia dapat membantu melancarkan operasi pasukan penyelamat dan keselamatan.
“Ada kalanya ambulans memerlukan ruang untuk lalu di jalan raya dengan pantas bagi menyelamatkan nyawa pesakit tetapi ia dihadang oleh kenderaan lain, melalui rakaman dashcam kita akan dapat kenal pasti pemandu-pemandu yang tidak bertoleransi itu dan seterusnya membantu pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.
Oleh itu, katanya, walaupun tidak diwajibkan namun pemilik kenderaan digalak memasang dashcam, apatah lagi pemasangan alat itu tidak melibatkan proses yang sukar dan harganya berpatutan iaitu serendah RM40 bergantung kepada spesifikasi dashcam.
“Ianya boleh dipasang dengan mudah iaitu hanya ‘plug and play’. Tidak mengganggu sistem kenderaan pun. Fungsi asasnya adalah untuk merakam dan merekod sahaja tetapi ada juga versi dashcam terkini yang mempunyai pelbagai fungsi tambahan seperti boleh merakam kemalangan yang berlaku pada waktu malam dengan jelas dan paparan yang luas. Ada juga dashcam yang mempunyai sistem amaran pelanggaran hadapan,” katanya.
Seorang penjawat awam Syed Iylia Hariz Syed Izman, 31, berkata beliau telah memasang dashcam pada keretanya sejak dua tahun lepas ekoran pelbagai kejadian penipuan kemalangan dan langgar lari yang sering tular dalam media sosial.
“Dashcam bagi saya amat penting terutama apabila isteri saya yang memandu kereta saya bersendirian supaya dia dapat mempertahankan diri dan tidak menjadi mangsa buli sekiranya berlaku sesuatu pelanggaran,” katanya.
Seorang pekerja swasta Rizuwan Zaini, 30 menasihati mereka yang ingin memasang dashcam supaya ‘jangan berkira’ untuk membeli dashcam yang mempunyai kualiti rakaman yang tinggi.
Beliau berkata dashcam yang dipasangnya sejak 2016 dengan harga RM400 itu mempunyai kamera hadapan dan belakang serta boleh merakam pada waktu malam dengan jelas.
“Pemasangannya pun sekejap sahaja. Tidak sampai dua jam. Jadi tidak salah kita peruntukan sedikit duit dan masa untuk memasang dashcam kerana alat itu mungkin akan sangat membantu kita satu hari nanti,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!