Bukan 'bossku', tapi 'pencuriku', kata Azmin

A
A
A

SEMENYIH - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak gelaran 'bossku' yang diberikan sesetengah rakyat kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, 'bossku' yang sebenar adalah pengundi DUN Semenyih dan bukannya ditujukan kepada individu tertentu.

"Sebab itu jangan ambil mudah, kerana yang dimainkan kini seolah-olah beliau (Najib) sahaja yang boleh jaga kepentingan rakyat.

"Tetapi terbukti dan kita akan terus buktikan bermulanya perbicaraan dalam mahkamah kita akan lihat siapa pengkhianat kepada orang Melayu," katanya semasa pelancaran Bilik Gerakan Wanita PH di Semenyih, malam tadi.

Beliau turut menyelar dakwaan mengenai pembangunan di Semenyih hanya berlaku ketika musim PRK ini.

"Kemajuan kawasan Semenyih adalah air tangan kerajaan Selangor sejak 2008 lagi, bukannya baru mahu dibangunkan kerana PRK ini.

"Pemimpin PH tidak hanya bekerja pada pilihan raya, tetapi tetap bersama rakyat sepanjang masa," ujarnya.

Beliau menambah, jika tidak kerana kepimpinan negeri turun bertahun lalu, Semenyih dan Hulu Langat tidak mungkin dapat pembangunan yang begitu hebat seperti ini.

Artikel Berkaitan:

"10 Tahun dulu kita tak dapat lihat Semenyih sebagaimana yang kita lihat hari ini.

"Mana mungkin Semenyih boleh dibangunkan kalau kami tak bekerja sejak 2008? Bila rakyat beri mandat, kita bukan hanya bangunkan bandar besar, tapi juga di desa supaya rakyat dapat manfaat. Lihat hari ini Semenyih hebat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, rakyat tidak boleh membandingkan DUN Semenyih dengan Cameron Highlands kerana PH belum berpeluang mentadbir Pahang.

"Rakyat Selangor telah beri kepercayaan kepada kami sejak 10 tahun lalu, sebab itu PRU lepas daripada 56, kita menang 51 DUN di Selangor.

"Jangan percaya tohmahan, penduduk Semenyih telah lihat prestasi kerajaan dari 2008 hingga hari ini walaupun bertukar kepimpinan negeri, namun dasarnya satu, amanah yang dipikul dan kita akan jaga kepentingan umat Islam, orang Melayu dan rakyat di Selangor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!