‘Jangan cuba mandulkan institusi demokrasi’
SHAH ALAM - Keputusan kerajaan yang tidak mengadakan sidang Parlimen sehingga 1 Ogos depan dilihat bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Parlimen seharusnya dibenarkan bersidang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membolehkan keberkesanan mekanisme semak dan imbang kerajaan sebagaimana tuntutan dan amalan demokrasi.
Tambah beliau, kerajaan tidak seharusnya cuba memandulkan institusi demokrasi dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada ahli Parlimen untuk berbahas, meluluskan rang undang-undang serta membawa isu dan masalah mereka di Parlimen.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO sekali lagi memohon agar kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menangguhkan Parlimen dan menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh darurat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!