Rasuah itu seperti mencuri

A
A
A

SEKIRANYA kita menakrifkan rasuah (corruption) secara sempit iaitu sogokan (bribery), maka amalan rasuah itu diremeh-temehkan menjadi tukartangannya harta secara sukarela daripada orang yang memberi sogokan kepada orang yang menerima sogokan. Pemahaman yang sempit itu menghilangkan 'mangsa’ dalam rasuah dan menjadikannya lebih ditoleransi berbanding dengan perbuatan mencuri dan merompak.

Kesalahan atau dosa rasuah itu menjadi sekadar rezeki yang tidak halal di sisi undang-undang, akhlak atau ajaran agama.

Dengan hilangnya 'mangsa’ rasuah, kita mungkin diajak menolak rasuah itu lebih kerana iri hati kepada kekayaan yang dikumpul dengan cara tidak halal, daripada marah melihat pembinasaan dan pemudaratan rasuah itu kepada mangsanya sama ada individu atau masyarakat.

Takrifan rasuah yang diambil oleh badan antarabangsa melawan rasuah yang terkemuka, Transparency International di lamannya https://www.transparency.org/en/what-is-corruption ialah 'penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk manfaat persendirian’.Takrifan itu sudah tentu tidak asing untuk muslimin dan muslimat yang mengetahui cerita riwayat pelita Khalifah Umar Abdul Aziz, Khalifah Bani Umaiyah yang kelapan (99-101 Hijrah/717-720 TM).

Baginda memadamkan pelita kerajaan selepas membaca dokumen kerajaan dan memasangkan pelita sendiri untuk membaca dokumen peribadi, kerana baginda ingin menjaga amanah memerintah empayar Islam dan tidak menyalah-gunakan kuasanya untuk manfaat dirinya.

Dalam kata yang lebih ringkas lagi, baginda tidak ingin 'mencuri’ minyak dan pelita kerajaan untuk kegunaan sendiri. Jika khalifah menunjukkan teladan yang salah, bayangkan jumlah minyak dan pelita yang disalahgunakan setahun di seluruh kekhalifahan Umaiyah.Dalam bidang ekonomi, ada ungkapan bahawa 'tiada makan tengah hari yang percuma’. Maksudnya, segala yang kita nikmati tidak percuma tetapi ada 'kos melepas’nya.

Maka, kalau kita dapat makan tengah hari yang percuma, sebenarnya ada pihak yang membayar. Apabila kita faham akibat rasuah, kita tidak akan melihat dua pihak yang 'secara sukarela’ memberi dan menerima suapan, sebaliknya kita akan melihat mangsa rasuah yang 'secara tidak sukarela’ yang menderita kerana menanggung kemudaratan rasuah.

Apabila pemandu kereta mendapat lesen kopi dengan memberi suapan kepada penguji, yang dicuri adalah keselamatan jalan raya kerana pemandu yang tidak layak mendapat lesen mungkin akan melanggar pengguna jalan raya yang lain.

Artikel Berkaitan:

Apabila pengilang makanan dibenarkan oleh pegawai kerajaan tempatan untuk beroperasi dalam keadaan yang kotor atau menggunakan bahan mentah palsu, yang dicuri adalah kesihatan pengguna kerana mungkin ada pengguna yang akan jatuh sakit.

Apabila pemaju rumah diberikan 'sijil penyiapan dan pematuhan’ (CCC) oleh profesional yang menerima sua-pan sungguhpun ada peraturan keselamatan tidak diikuti, yang dicuri adalah keselamatan penghuni kerana rumah yang tinggal mungkin runtuh dan meragut nyawa suatu hari nanti.

Apabila dana pembangunan kerajaan disekat kerana wakil rakyat itu datang daripada parti yang salah, yang dicuri adalah kemajuan rakyat dan demokrasi kerana rakyat terpaksa mengadaikan hak pilihan untuk mendapat pembangunan.

Apabila vaksin untuk barisan hadapan boleh dipotong giliran oleh orang-orang penting, yang dicuri adalah pemulihan daripada wabak kerana seorang barisan hadapan yang kelewatan menerima vaksin mungkin menjadi pembawa wabak kepada orang awam. Rasuah bukan sekadar urusan sukarela yang tidak halal. Rasuah adalah mencuri dan kita sendiri mungkin mangsanya.

Mengayuh sampan ke kuala,

Di laut terbenamnya matahari.

Curi bukan urusan sukarela,

Lawan rasuah selamat sendiri.

* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!