Kawal harga makanan ruminan

Hasrul Nizam ketika memberi ternakannya makan dedak kambing hitam.
Hasrul Nizam ketika memberi ternakannya makan dedak kambing hitam.
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan penternak memohon kerajaan mengawal harga makanan ruminan.

Rata-rata mereka berharap kerajaan dapat menyediakan pelan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi kemelut itu antaranya dengan menetapkan harga siling atau meletakkan ia sebagai barang kawalan.

Penternak dari SELANGOR, Nurul Azman Mydin Pitchay, 46, berkata, walaupun harga dedak naik namun peniaga tidak boleh menaikkan harga daging mentah berikutan bimbang dikenakan tindakan oleh kerajaan.

“Kalau kita suka-suka naikkan harga, kerajaan akan kompaun kita.

“Sekiranya harga bahan mentah dan daging naik, kami tidak mempunyai masalah. Ini harga bahan mentah naik tapi daging tak boleh. Macam mana kita nak berniaga,” katanya.

Seorang penternak dari KEDAH, Hasrul Nizam Hashim, 35, berkata, kenaikan itu membebankan golongan penternak yang terpaksa menanggung tambahan kos operasi terutama ketika ekonomi negara terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Harga makanan ruminan untuk lembu dan kambing terus mengalami kenaikan mendadak bermula November 2020. Sejak itu, telah beberapa kali mengalami kenaikan seolah-olah tiada kawalan,” katanya.

Hasrul Nizam berkata, kenaikan harga untuk 50 kilogram/guni adalah dari RM47 pada November kepada RM49 dan terus meningkat kepada RM55 (Januari), RM57 (Februari) dan terkini RM60.

Artikel Berkaitan:

“Ini menyebabkan penternak terpaksa menanggung kos makanan ternakan yang tinggi, selain memberi implikasi terhadap harga daging mentah terutama ketika musim perayaan.

“Saya difahamkan, harga sekilogram daging di sesetengah tempat sudah dinaikkan sebanyak RM2 bagi menampung kos bahan mentah makanan ternakan,” katanya.

Hasrul Nizam yang mengusahakan ladang ternakan di Tebengau, Kuala Kedah berharap keluhan penternak akan membuka mata semua pihak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka sekarang ini.

Jerami yang dikutip di kawasan sawah padi antara alternatif dijadikan makanan ternakan.
Jerami yang dikutip di kawasan sawah padi antara alternatif dijadikan makanan ternakan.

Menurutnya, sebagai alternatif untuk menjimatkan kos, dia mempelbagaikan makanan untuk ternakannya antaranya jerami padi dan rumput napier.

“Selain jerami yang saya kutip di belakang rumah, saya turut membeli jerami gulung dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA Sungai Limau. Pada musim kemarau amat sukar untuk memperoleh rumput, disebabkan itu saya tanam sendiri rumput napier sebagai alternatif makanan ternakan,” katanya.

Di MELAKA, penternak lembu dan kambing di Solok Bukit Baru, Mohd Safid Affendi Shamsudin, 29, berkata, kerajaan perlu campur tangan bagi memastikan harga bekalan makanan haiwan ternakan ini tetap dan tidak terus melonjak naik.

Mohd Safid mengakui kenaikan harga dedak menyebabkan penternak sepertinya terjejas.
Mohd Safid mengakui kenaikan harga dedak menyebabkan penternak sepertinya terjejas.

“Sedangkan saya yang sudah beberapa tahun terlibat dalam bidang penternakan terasa kesannya akibat kenaikan harga dedak, inikan pula anak-anak muda yang baru berkecimpung.

“Paling kasihan ada yang menggunakan wang i-Sinar untuk menceburi bidang ini namun terpaksa menjual semula lembu mereka kerana tak sanggup nak terus mengalami kerugian,” katanya.

Jelasnya, selain itu kos penyembelihan juga perlu dikaji semula kerana dianggap terlalu tinggi agar penternak tidak terus terbeban dengan kos sedemikian.

“Cuba bayangkan kos penyembelihan bagi seekor lembu sebanyak RM50, belum tambah dengan kos pengangkutan sebanyak RM50 lagi. Kami memang benar-benar terbeban,” katanya.

Jenama

Di PAHANG, penternak dari Kampung Paya Keladan, Temerloh, Mohd Faizal Said, 39, memberitahu, harga dedak turut berbeza mengikut lokasi dan jenama pilihan masing-masing.

“Untuk produk SB dari Johor, harga terkini bagi satu beg seberat 50 kilogram (kg) ialah RM54 berbanding RM45 sebelum PKP.

“Oleh kerana harga SB semakin meningkat, saya mula menggunakan jenama PSJ dari Pulau Pinang kerana harganya sedikit murah tetapi nampaknya harga sekarang mencecah RM43 satu beg berbanding RM38 sebelum PKP,” katanya.

Menurutnya, kenaikan harga dedak menyebabkan dia menggunakan alternatif lain sebagai sumber makanan lembunya dengan memilih jerami dan daun sawit dicampur dengan dedak untuk diberi kepada ternakannya.

Di NEGERI SEMBILAN, Timbalan Presiden Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan, Mohammad Khairul Izwan Remli berkata, harga makanan ruminan perlu dikawal bagi memastikan tiada peniaga yang boleh menaikkan harga sesuka hati.

“Bayangkan jika harga makanan ruminan seperti dedak ini terus naik, bagaimana penternak mahu menjual daging mereka dengan harga yang murah, sedangkan barang asas ternakan semakin mahal.

“Apabila pengusaha ternakan dikenakan harga mahal, mereka terpaksa jual tinggi kepada pemborong, seterusnya penjual dan akhirnya pembeli juga yang akan mengeluh,” katanya.

Kata Khairul, pihak berkaitan diharap dapat memantau perkara ini dan memberi perhatian dalam menangani masalah yang dihadapi oleh penternak dan pengusaha makanan ruminan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!