Beratur beli emas dah macam beli tiket bola
TERKEJUT Merak Jalanan bila tengok kaum hawa berpusu-pusu ke kedai emas. Situasi lebih ‘meriah’ boleh dilihat pada hari minggu.
Pendek kata, penuh sesak kedai emas setiap masa. Maklumlah harga emas murah sekarang ini.
Kedai emas belum dibuka tetapi mereka sudah mula beratur panjang. Macam beratur nak beli tiket bola pula. Selalunya Merak Jalanan dapat lihat suasana macam ini ketika berada di stadium.
Lebih-lebih lagi kalau perlawanan bola sepak itu melibatkan pasukan pilihan. Stadium akan full house bila aksi sudah masuk peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.
Bila kedai dibuka, masing-masing menyerbu masuk. Baik di bandar-bandar utama sehinggalah di pekan-pekan kecil, boleh kata kedai emas tak pernah kosong.
Selagi belum tutup, selagi itulah ramai yang beratur. Tauke kedai emas sudah tentu tersenyum lebar. Apa tidaknya, bila pelanggan makin ramai, bisnes makin kencang. Mungkin sudah rezeki tauke-tauke emas, rezeki mereka makin murah pada saat ini.
Tetapi jangan kita lupa, saat ini juga mungkin rezeki buat pembeli-pembeli emas. Inilah masanya buat mereka nak ‘melabur’. Ada duit lebih sekarang, bolehlah beli emas, lebih-lebih lagi emas makin murah.
Tak dapat beli yang besar, saiz kecil pun boleh. Apa yang penting, emas tetap emas. Kata seorang kawan Merak Jalanan, “Ini masanya aku nak ‘menabung’, bila sesak terpaksa aku ‘pecah tabung’ balik.”
Merak Jalanan sekadar mahu berpesan, janganlah mana-mana pihak yang pandang serong bila lihat ada orang ‘terpacak’ depan kedai emas.
Sentiasa pasak dalam hati – itu rezeki dia, ini rezeki aku, hari ini rezeki dia, mana tahu esok pula rezeki aku.
Hakikat yang pasti, rezeki sebenarnya bukan hanya datang daripada wang ringgit semata-mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!