Hina raja: Perlukah Malaysia laksana 'Lese Majeste'?
KUALA LUMPUR - Perbuatan menghina dan mempersenda institusi raja menerusi media sosial dilihat semakin berleluasa sehingga ada yang mencadangkan supaya undang-undang Lese Majeste yang diamalkan di Thailand diperkenalkan di Malaysia bagi membendung kebiadaban itu.
Lese Majeste, yang berasal daripada bahasa Latin, bermakna ‘menderhaka kepada raja’.
Undang-undang itu digubal demi melindungi, memelihara kemuliaan dan menghentikan penghinaan terhadap institusi raja di beberapa negara dengan pendekatan dan hukuman berbeza.
Di Asia, Thailand adalah negara yang mengamalkan undang-undang Lese Majeste dengan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.
Undang-undang itu diperkenalkan di Thailand mulai 1908 dan terkandung dalam Seksyen 112 Kanun Jenayah Thailand iaitu jenayah memfitnah, menghina atau mengugut raja, permaisuri, pemangku raja dan pewaris raja.
Hukuman itu tidak terkecuali kepada warga asing yang turut dikenakan tindakan kerana menghina kerabat diraja negara itu.
Pada Disember 2011, seorang warga Amerika Syarikat (AS) kelahiran Thailand dipenjarakan kerana menghina Raja Thailand selepas menyiarkan bahan secara dalam talian, yang merupakan terjemahan bahasa Thailand daripada buku biografi Raja Bhumibol Adulyadej versi bahasa Inggeris.
Lelaki berusia 55 tahun itu dikenakan hukuman penjara selama dua setengah tahun tetapi diberi pengampunan diraja pada Julai 2012.
TIDAK TERKECUALI
Golongan remaja juga tidak terkecuali daripada undang-undang Lese Majeste apabila seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bersama-sama lapan yang lain didakwa menghina institusi Raja Thailand pada Ogos 2017.
Kesemua mereka didakwa membakar potret Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn dan ayahanda baginda, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej di beberapa lokasi di timur laut wilayah Khon Kaen pada Mei 2017.
Pada Ogos 2017, seorang lelaki Thailand pula dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana menyebarkan enam klip video yang dianggap menghina monarki negara itu.
Bagi memastikan institusi raja dilindungi, Kemboja mengikut jejak langkah Thailand dengan meluluskan undang-undang Lese Majeste pada Febuari tahun lepas.
Ia antara lain mengenakan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun serta denda antara 2 juta riels (RM20,600) hingga 10 juta riels (RM103,000) terhadap individu yang disabit kesalahan menghina institusi raja negara itu.
Kes pertama membabitkan seorang guru lelaki berusia 50 tahun yang ditahan kerana memuat naik kenyataan dalam laman Facebook yang mengkritik Raja Norodom Sihanouk dan abangnya Putera Norodom Ranariddh berhubung peranan mereka dalam pembubaran parti pembangkang utama, Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja, pada Mei 2018.
Pada Januari 2019, seorang lelaki pula dihukum penjara tiga tahun kerana memuat naik kenyataan yang menghina raja Kemboja dalam laman Facebook.
TIADA LES MAJESTE DI MALAYSIA
Di Malaysia, tiada undang-undang khusus seperti Lese Majeste.
Tetapi, individu yang didapati mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja akan disiasat dan didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata di Malaysia, Akta Hasutan 1948 memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000 jika sabit kesalahan menghina raja.
Berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan kes yang dituduh di bawah akta berkenaan hanyalah dibicarakan di peringkat Mahkamah Majistret.
“Ini menunjukkan ia kes biasa yang hanya dihukum dan didenda,” katanya menyifatkan kes berkaitan Akta Hasutan 1948 membabitkan institusi raja tidak dibawa ke peringkat yang membawa kepada hukuman berat seperti hukuman penjara lebih lama.
Umumnya, Akta Hasutan bertujuan mengekang perbuatan yang boleh melahirkan kecenderungan menghasut terhadap Institusi Beraja, hubungan di antara rakyat dan raja di negeri-negeri dalam Persekutuan, hubungan antara kaum serta hal berkaitan kewarganegaraan, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Seksyen 3 Akta Hasutan juga menjadikan kesalahan kecenderungan hasutan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan kebencian di antara kaum atau agama.
Awal bulan ini, seorang peniaga ditahan di Kuantan kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi laman Facebook. Lelaki berusia 45 tahun itu disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.
Beberapa pengguna media sosial juga dikesan mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Abdullah sempena istiadat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.
Selain itu, tiga pemilik akaun media sosial ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 selepas memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Sultan Muhammad V berhubung isu peletakan jawatan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Pada Mac 2018 pula, seorang suri rumah dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas pertuduhan menghina Sultan Muhammad V.
Pada Oktober 2017, seorang pelajar Tingkatan Enam didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Perak dalam laman sosial.
PERLUAS TAFSIRAN AKTA HASUTAN
Nik Ahmad Kamal berkata Akta Hasutan 1948 tidak memperjelaskan perkara, kenyataan atau perbuatan yang boleh dikatakan sebagai menghina raja kerana tiadanya tafsiran yang khusus.
Beliau berpendapat kerajaan perlu meminda akta itu dengan merangkumi penjelasan berhubung maksud sebenar mengenai perbuatan menghina raja dan institusi raja.
“Ini juga memudahkan polis dan pendakwa raya untuk membuat siasatan berdasarkan tafsiran menghina itu,” katanya.
Memandangkan kes menghina dan mencemuh institusi raja semakin bertambah sejak 10 hingga 20 tahun lepas terutamanya di media sosial, beliau berkata kebergantungan terhadap akta sedia ada dilihat tidak dapat mengatasi atau mengawal selia perbuatan itu.
Menurutnya meminda akta sedia ada adalah lebih baik dan cepat berbanding menggubal undang-undang baharu bagi melindungi kesucian dan kedaulatan raja.
“Saya tidak melihat perlunya Lese Majeste seperti di Thailand kerana raja kita dilindungi oleh Perlembangaan selain sudah ada undang-undang untuk mengawal selia kuasa raja,” katanya.
Berkongsi pendapat sama, Prof Datuk Dr Ramlah Adam menerangkan Akta Hasutan yang diamalkan di Malaysia adalah berkesan sejajar dengan Perkara 181 Perlembagaan yang menjelaskan tentang kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa pembesar-pembesar memerintah sembilan negeri di bawah wilayah-wilayah mereka sebagaimana yang telah ada dan dinikmati sehingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.
Pakar sejarah itu berkata perkara berbangkit bukanlah berkaitan undang-undang yang tidak berkesan tetapi kurangnya penguatkuasaan dan pelaksaanaan sehingga ada individu yang bertindak biadap dengan menghina institusi raja.
Ramlah berkata institusi raja adalah teras tamadun dan ia wujud sebelum Malaysia dibentuk, selain sebati dengan masyarakat tempatan.
“Institusi raja disifatkan sebagai tradisi yang dijadikan sebahagian daripada pentadbiran British dan dikekalkan sehingga kini dengan mengamalkan sistem Raja Berperlembangaan,” katanya.
Bagi mengekang perbuatan menghina institusi raja ini, Ramlah mencadangkan ilmu kenegaraan diberi penekanan dengan menghayati, memahami dan mengamalkan Rukun Negara terutamanya di peringkat sekolah.
“Kita mesti bangkitkan semula soal Rukun Negara sebagai pelajaran di sekolah dan ditanam dalam diri anak-anak,” katanya sambil menjelaskan perbuatan menghina institusi raja berlaku apabila individu tidak ambil peduli dengan ilmu kenegaraan.
Beliau menegaskan bahawa rukun kedua dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara perlu diterapkan supaya dapat membendung kebiadaban terhadap institusi raja.
BATASAN HAK ASASI MANUSIA
Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Salawati Mat Basir pula berkata hak asasi manusia ada batasnya dan perkara itu tidak boleh menjadi ‘tiket’ kepada orang ramai untuk sewenang-wenangnya menyuarakan pandangan sehingga menghina institusi raja.
Pada masa sama, katanya, banyak undang-undang di negara ini yang tidak dikuatkuasakan secara serius dan kerajaan perlu membuktikan bahawa Akta Hasutan boleh mengekang perbuatan menghina institusi raja.
“Pesalah dilihat hanya dikenakan hukuman ringan dan mereka akan meminta maaf dengan memberi alasan sudah insaf...ini nampaknya menjadi kebiasaan kepada pesalah.
“Sepatutnya, bukan isu insaf yang menjadi fokus tetapi kes penghinaan yang wajar diambil berat,” katanya.
Justeru itu, beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan melaksanakan Lese Majeste seperti di Thailand berikutan ramai terutamanya generasi muda dilihat tidak menghormati institusi raja.
“Bagi saya, sudah tiba masanya kerajaan memikirkan pelaksanaan undang-undang sedemikian (Lese Majeste) supaya generasi muda punya rasa hormat kepada institusi raja.
“Institusi raja termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Jika rakyat tidak menghormati institusi raja, ini menunjukkan mereka juga tidak hormat kepada Perlembangaan negara,” katanya.
Menurutnya rakyat perlu tahu bahawa bahawa bukan semua perkara boleh diperkatakan secara semberono, oleh itu, hak kebebasan bersuara tidak wajar digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa ada rasa hormat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!