Johor Tigris, KL Thunder lakar kemenangan
JUARA bertahan Johor Tigris menewaskan juara STL Divisyen 1, Bomba Fighters 23-21, 21-15 dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup, di Iskandar Malaysia Studios, Johor Darul Ta’zim, malam tadi.
Walaupun menerima tentangan sengit pada set pertama, namun Johor Tigris yang diwakili Muhammad Faisal Mohd Fuad (tekong), Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Wafin Iskandar Abdul Hadi (kapten) berjaya menang set pertama, 23-21.
Set kedua menyaksikan Johor Tigris mula mendapat rentak dan berjaya menewaskan Bomba Figters yang diwakili tekong, Irsyad Faiz Aziz, Nasyrul Izuan Tolos, Razman Raof (kapten), 21-15.
Dalam satu lagi perlawanan semalam, juara Liga Sepak Takraw (STL) 2020, KL Thunder menewaskan Putrajaya Cyborg, 21-16, 21-13
Walaupun menerima tentangan sengit, KL Thunder yang diwakili tekong berpengalaman, Mohammad Syahir Rosdi, Mohd Hanafiah Dollah dan Amirul Zazwan Amir (kapten) masih mampu mempamerkan aksi mantap untuk memenangi set pertama 21-16.
Set kedua menyaksikan KL Thunder mula mendominasi perlawanan dan seterusnya berjaya menewaskan Putrajaya Cyborg yang diwakili Muhammad Hairee Haidzir selaku tekong, Mohammad Muslim Mohammad dan Muhammad Suhairi Sulaiman (kapten) 21-13.
Dua lagi perlawanan bakal berlangsung hari ini melibatkan pertemuan ATM Guardians dan Penang Black Panthers selain Kelantan Warrior berdepan dengan Negeri Sembilan Antlers.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!