Pesakit kanser guna wang i-Sinar teruskan hidup

Mohd Fadel (kiri) memberikan penerangan semasa melawat Mohd Faisal di rumah sewanya di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, Kluang, pada Khamis.
Mohd Fadel (kiri) memberikan penerangan semasa melawat Mohd Faisal di rumah sewanya di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, Kluang, pada Khamis.
A
A
A

KLUANG - Seorang bekas pemandu lori di Singapura memohon bantuan kerana tidak lagi bekerja selepas disahkan menghidap kanser bahu tahap satu.

Mohd Faisal Ali, 43, yang menetap di Taman Renggam Jaya di sini berkata, selepas berhenti kerja di Singapura, dia bekerja sebagai pemotong kelapa sawit namun berhenti kira-kira setahun lalu akibat kanser.

Ketika ini dia tidak bekerja dan terpaksa menggunakan wang i-Sinar Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk menampung hidup termasuk membayar tunggakan ansuran rumah selama tujuh bulan berjumlah RM1,750.

"Wang itu pun semakin berkurangan kerana saya juga menggunakannya untuk keperluan perbelanjaan harian kami sekeluarga termasuk tiga anak perempuan berusia tiga hingga 11 tahun," katanya.

Mohd Faisal berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Ekonomi Golongan B40 Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi yang menyampaikan bantuan di rumahnya pada Khamis.

Dia tidak dapat bekerja kerana kerap sakit pada bahagian bahu selepas menjalani pembedahan dan kini isterinya merancang berniaga secara kecil-kecilan bagi mencari pendapatan termasuk bekerja sambilan.

Kanser itu katanya, dikesan semasa bekerja sebagai pemotong kelapa sawit apabila sakit di bahagian bahu kanan dan timbul benjolan kecil.

"Ketika itu saya ingatkan sakit bahu biasa sebab beban buah kelapa sawit terlalu berat namun semakin lama semakin membesar dan saya pula kerap mengambil cuti sakit.

Artikel Berkaitan:

"Selepas pemeriksaan di beberapa hospital termasuk di Johor Bahru, doktor mengesahkan benjolan itu ialah kanser dan perlu dibuang segera. Tidak lama selepas itu saya menjalani pembedahan membuangnya," katanya.

Sementara itu, Mohd Fadel berkata, pihaknya akan berhubung dengan jabatan kerajaan berkaitan bagi merujuk kes tersebut dan memohon sumbangan orang ramai bagi meringankan beban Mohd Faisal.

"Mereka yang ingin menyumbang terus ke akaun Maybank milik Mohd Faisal Ali 151191602911 atau hubungi wakil masyarakat setempat iaitu Karim menerusi talian 0127377801 atau Mohd Faisal sendiri 017299003.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!