'Kerja macam pembangkang tapi bawa agenda kerajaan'
SEMENYIH - PH diingatkan agar tidak terlalu selesa walaupun telah bergelar kerajaan sebaliknya perlu bergerak seperti mana ketika bergelar pembangkang dulu.
Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin berkata, semua ahli gabungan perlu kembali kepada dasar namun dengan pendekatan berbeza bagi membawa aspirasi kerajaan kepada rakyat.
"Hanya kerana kita adalah kerajaan, tidak bermakna kita boleh berehat dengan kejayaan kita. Kita mesti kembali kepada dasar dan melakukan kempen seperti kita adalah pembangkang bagi memastikan kita mengambil semula kerusi DUN Semenyih.
"Jika dulu kita sebagai pembangkang، sekarang kita berdebat untuk mengangkat agenda kerajaan. Dulu kita mengangkat agenda pembangkang. Kita dah menang maka agenda pembangkang menjadi agenda rakyat dan negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama Wanita, di Beranang di sini malam tadi.
Tambah beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, pendekatan turun padang ke rumah juga perlu diteruskan dari masa ke masa dan dalam masa sama membantu golongan B40.
Ujarnya, selaku menteri juga beliau tidak melihat ia sebagai kekangan untuk meneruskan pendekatan tersebut.
"Sama saja jadi menteri. Cuma rasa ada kuasa sikit untuk bawa perubahan negara. Jangan terlampau protokol. Kadang kala menteri tak ada apa, tapi yang iring (menteri) lebih-lebih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!