Dua tokan dadah ditahan
MELAKA - Polis menahan dua tokan dadah dalam dua serbuan berasingan di Tanjung Kling dan Kandang di sini pada Selasa.
Dua lelaki yang masing-masing berusia 50 dan 35 tahun itu ditahan bersama dadah jenis syabu serta heroin bernilai hampir RM42,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, suspek pertama berusia 50 tahun itu ditahan di tepi jalan berdekatan sebuah kedai serbaneka di Tanjung Kling pada jam 2.20 petang.
Menurutnya, semasa serbuan, polis merampas 382 gram heroin dan 11.6 gram syabu bernilai RM14,470 selain menyita sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.
"Selepas enam jam, polis menahan pula suspek kedua dan merampas 2,527 gram heroin bernilai RM27,500. Nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM42,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Zulkiflee berkata, bekalan dadah itu dipercayai untuk dipasarkan di pasaran tempatan.
"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mempunyai rekod lampau.
"Tangkapan ini adalah hasil risikan yang dilakukan pihak polis dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah," katanya.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 9 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!