Taktik sindiket pinjaman tidak wujud 'pancing' mangsa dibongkar
KUALA LUMPUR - Helah sindiket pinjaman tidak wujud menghubungi mangsa serta menghantar mesej bagi 'memancing' orang ramai membuat pinjaman sejak sebulan lalu akhirnya terbongkar.
Kegiatan itu dibongkar selepas empat individu ditahan di sekitar Lembah Klang dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada Isnin lalu.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, serbuan itu bertindak merampas 10 telefon bimbit, satu buku catatan, satu salinan dokumen rumah sewa dan lima kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
"Siasatan awal mendapati sindiket ini menawarkan pinjaman wang tidak wujud dengan cara menghubungi mangsa menerusi panggilan telefon atau menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp.
"Sebaik berjaya menghubungi mangsa, sindiket akan mengarahkan mereka untuk membuat pembayaran pendahuluan seperti yuran perundangan, yuran perjanjian, yuran insurans dan lain-lain sebelum menghilangkan diri selepas pembayaran dibuat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zainuddin berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun termasuk tiga wanita disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, impak kemelesetan ekonomi susulan pandemik Covid-19 mengakibatkan ramai individu menganggur serta kehilangan sumber pendapatan sekali gus terpaksa memilih membuat pinjaman daripada institusi kewangan bagi meneruskan kehidupan.
Katanya, sindiket berkenaan melihat perkara ini sebagai satu peluang untuk memperdaya mangsa dengan menawarkan pinjaman wang yang diiklankan melalui media sosial.
"Tawaran kadar faedah rendah dan proses permohonan pinjaman cepat adalah daya tarikan utama yang mampu mengaburi mangsa.
"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 5,718 kes dilaporkan membabitkan pinjaman wang tidak wujud dengan kerugian berjumlah lebih RM62 juta," katanya.
Justeru, JSJK menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan iklan promosi pinjaman wang di media sosial.
Katanya, orang ramai diminta membuat pengesahan nombor telefon serta akaun bank terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.
"Sila laporkan kepada CCID Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkaitan penipuan pinjaman wang tidak wujud yang terdapat di media sosial," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!