Empat sindiket penipuan pelaburan tumpas
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan empat sindiket penipuan pelaburan dalam serbuan pada Februari hingga awal Mac ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, serbuan di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kelantan berjaya memberkas 21 individu terdiri daripada 19 lelaki dan tiga wanita.
Menurutnya, penipuan pelaburan yang terlibat adalah Likeshare, Zan Zan Lee, Isharefans dan E-Currency Investment Bitcoin
"Polis telah merampas pelbagai barang antaranya 28 telefon bimbit, 17 keping kad ATM, 11 kad kredit, 1 kad big pay, dua set komputer dan tiga komputer riba.
"Selain itu, polis juga merampas sembilan set dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sebuah tablet, modem (3), router (1), buku cek (2), cop perniagaan (1), salinan resit pelaburan dan wang tunai RM11,930," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket akan memulakan iklan tawaran pelaburan di platform media sosial seperti Facebook.
Katanya, mangsa yang tertarik akan mengikut arahan sindiket dengan membuat pelaburan dalam nilai yang rendah serta dijanjikan pulangan berganda dalam tempoh singkat.
"Mangsa yang tamak kemudian akan melabur dalam jumlah yang besar sebelum suspek memutuskan perhubungan dengan mangsa setelah menerima wang," katanya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Zainuddin berkata, sebagai langkah berjaga-jaga orang ramai dinasihatkan berwaspada dan tidak percaya dengan iklan promosi pelaburan di media sosial. Buat semakan dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan status skim pelaburan syarikat berkenaan.
"Skim pelaburan berdaftar dan diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia tidak akan menjanjikan keuntungan terlalu besar dalam tempoh singkat.
"Hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan pelaburan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!