KASA perkenal sistem Gred Air Nasional
KANGAR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memperkenalkan sistem Gred Air Nasional bagi menyelesaikan masalah berkaitan air di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sistem itu akan membantu KASA melihat secara keseluruhan isu-isu berbangkit sistem air termasuk dalam menentukan gred air mentah.
“Buat masa ini, air mentah dijual secara purata (penjualan antara kerajaan negeri). Gred air mentah sekarang dijual pada harga sama, kita melihat perlunya satu ‘grading’ (penggredan) air dibuat pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Setiusaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof.
Tuan Ibrahim berkata, sebagai contoh air mentah bersih dijual pada harga lebih tinggi berbanding harga air bagi gred dua ataupun gred tiga yang mempunyai kualiti lebih rendah.
“Tujuannya adalah memberi manfaat kepada negeri yang menjaga hutan dan alam sekitar menjual air mentah bersih dengan harga lebih tinggi kerana air bersih akan mengurangkan kos pemprosesan air.
“Mekanisme yang kita ingin wujudkan ialah kerajaan negeri yang menjaga alam sekitar mendapat hasil daripada penjualan air yang bersih,” katanya.
Beliau berkata, sistem Gred Air Nasional juga berperanan mencari kaedah mengumpul dana bagi menggantikan paip air yang telah uzur melebihi 45 tahun.
Sementara itu, Zaini berkata, penggredan air tidak akan membebankan pengguna kerana ia hanya melibatkan penjualan air mentah.
“Air mentah yang bersih akan menjimatkan kos memproses air yang kosnya ditanggung oleh operator air (syarikat air negeri) jadi ia tidak akan membebankan pengguna,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!