Ibu tunggal bimbang rumah diroboh pihak berkuasa
KUALA SELANGOR - Tiga ibu tunggal di Jalan Haji Zainal, Kampung Sungai Sembilang, Jeram di sini merayu Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor tidak merobohkan rumah didiami mereka yang dibina di tanah kerajaan sejak lebih 40 tahun lalu.
Kesemua mereka merupakan asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) bimbang jika hilang tempat berteduh selepas menerima dua kali notis kesalahan pendudukan secara tidak sah di tanah kerajaan terbabit.
Warga emas, Yatimah Ismail, 64, berkata, dia tidak berkahwin dan menetap di rumah pusaka peninggalan arwah ibu bapanya itu sejak kecil.
"Saya tidak ada suami dan anak-anak, ke mana saya hendak pergi jika rumah ini dirobohkan?.
"Saya berharap kerajaan negeri tidak mengusir saya keluar di sini apatah lagi saya tiada sumber pendapatan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Yatimah berkata, rumah peninggalan keluarganya itu sebelum ini condong dan berisiko runtuh pada bila-bila masa sahaja.
"Saya mendapat bantuan baik pulih rumah rosak daripada LZS namun kerja-kerja yang sudah dijalankan terpaksa dihentikan selepas kami menerima notis daripada PDT Kuala Selangor," katanya.
Sementara itu, Hasnah Ismail, 66, berkata, dia dan suami serta lima anaknya menetap di tanah itu pada tahun 1994 selepas mendapat kebenaran lesen pendudukan sementara (TOL) dua tahun sebelumnya.
Katanya, pada mulanya dia tinggal di rumah pusaka arwah keluarga di sebelah rumahnya.
"Tapak (tanah) ini dahulunya kosong dan kami telah memohon LZS membina rumah di sini.
"Bagaimanapun, saya tidak menyangka setelah rumah siap diduduki kami terima notis perobohan pada tahun 2015 kerana pada masa itu kerajaan negeri memansuhkan TOL tanah kerajaan.
"Setelah perbincangan diadakan antara penduduk dan PDT Kuala Selangor kami dibenarkan terus tinggal di sini, sebelum masalah ini kembali menghantui kami," katanya.
Seorang lagi penduduk, Norsam Abd Masjid, 60, berkata, dia buntu memikirkan masalah itu dan berharap ada jalan penyelesaian segera.
Katanya, dia antara penghuni paling lama menetap di situ bimbang sekiranya rumah dibina hasil pendapatan arwah suaminya itu dirobohkan pihak berkuasa.
"Saya tidak mahu menyusahkan anak-anak kerana mereka pun sudah ada keluarga, tolong jangan robohkan rumah kami," katanya.
Anak kepada salah seorang penduduk, Haryani Muhyiddin, 38, berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Katanya, dia juga ada berjumpa dengan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji selepas menerima notis pertama pada Disember tahun lalu.
"Saya dimaklumkan perkara ini akan dibincangkan dengan kakitangannya untuk mencari penyelesaian," katanya.
Justeru katanya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diminta campur tangan membantu penduduk di kawasan terbabit.
"Kami tiada masalah hendak pindah tapi pastikan kerajaan menyediakan tapak dan rumah untuk kami duduki," katanya.
Sementara itu, Mohd Faizal berkata, tindakan PDT Kuala Selangor mengeluarkan notis kepada tiga penghuni terbabit mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Pihak kami tidak akan mengeluarkan notis sewenang-wenangnya terutama membabitkan bangunan kediaman.
"Kita meminta penghuni berhubung dengan PDT Kuala Selangor kerana mungkin ada cara lain untuk kita selesaikan masalah ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!