RSK Bedong tinggal 1,001 kenangan

Halimaton Shaadiah dan Azmi (dua kanan) menyantuni penghuni RSK Bedong yang dipindahkan.
Halimaton Shaadiah dan Azmi (dua kanan) menyantuni penghuni RSK Bedong yang dipindahkan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Suasana sedih mengiringi pelepasan perpindahan warga emas Rumah Seri Kenangan (RSK) Bedong sebelum ditutup sepenuhnya bagi memberi laluan kepada kerja-kerja meroboh dan membina semula institusi berusia 69 tahun itu.

Nostalgia yang menyimpan 1001 kenangan mengusik jiwa 71 orang penghuni yang dibawa keluar menggunakan dua buah bas, empat ambulans dan sebuah van diiringi 33 orang kakitangan, disusuli dengan linangan air mata pada Rabu.

Sesetengah penghuni dilihat tidak sanggup meninggalkan 'rumah mereka' yang menjadi syurga penempatan sepanjang tempoh berada di sana.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, perpindahan penghuni ke RSK Seri Iskandar, Perak merupakan perpindahan ke-11 dan terakhir bagi membolehkan RSK Bedong ditutup sepenuhnya.

Menurutnya, perpindahan secara berperingkat kesemua 177 penghuni RSK Bedong bermula 17 Disember lalu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja meroboh dan membina semula premis berkenaan.

"Antara institusi yang terlibat menerima penghuni RSK Bedong ialah RSK Kangar, RSK Taiping, RSK Kemumin, RSK Cheng, Melaka dan Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu,"katanya.

Halimaton Shaadiah berharap penghuni warga emas berlapang dada menerima perpindahan itu sebagai satu penghijrahan ke arah yang lebih baik.

"Kita jadikan perpindahan ini sebagai semangat dan dorongan untuk lebih bersemangat di tempat baharu dengan nafas dan cara baru.

Artikel Berkaitan:

"Penghuni boleh berjumpa dengan kawan dan suasana baru sebagai pencetus untuk meneruskan sayang-menyayangi, bersyukur atas peluang dan nikmat yang diberikan sepanjang kehidupan ini,"katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada 98 kakitangan RSK Bedong yang selama ini mengasuh dan mencurahkan kasih sayang tanpa berbelah bahagi kepada warga emas yang turut menerima kesan perpindahan secara pentadbiran ke beberapa buah institusi bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Antara penghuni RSK Bedong yang dipindahkan ke RSK Seri Iskandar Perak.
Antara penghuni RSK Bedong yang dipindahkan ke RSK Seri Iskandar Perak.

Menurut Halimaton Shaadiah, projek menaik taraf dan membina semula RSK Bedong bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dijangka bermula April 2021 dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

"Projek ini dijangka mengambil masa selama tiga tahun dan siap pada 2024 dianggarkan boleh menambah kapasiti bilangan penghuni daripada 250 kepada 350 orang,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Kebajikan Masyarakat Kedah, Azmi Abd Karim berkata, perpindahan bukan satu hukuman sebaliknya takdir Allah untuk satu peluang yang lebih baik.

Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun pembinaan bangunan baharu, penghuni dan kakitangan yang ingin kembali ke RSK Bedong, boleh memohon sebaik sahaja bangunan baharu siap kelak.

Menyelami hati penghuni, Mohd Yusof Shafie, 80, berkata, dia bersedia berpindah walaupun berat hati meninggalkan RSK Bedong.

Selain itu, Lim Lee Peng, 70, berkata, pengalaman sembilan tahun di RSK Bedong mengajarnya erti kehidupan, kasih sayang, persahabatan dan hubungan kekeluargaan yang terjalin.

"Saya sayang semua dan sayang nak tinggalkan RSK Bedong yang banyak kenangan di sini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!