Lapan kapal tangki asing ditahan

Lapan buah kapal tangki asing ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur menerusi satu operasi yang dijalankan di Zon Maritim Tanjung Sedili selama seminggu. - Foto Bernama
Lapan buah kapal tangki asing ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur menerusi satu operasi yang dijalankan di Zon Maritim Tanjung Sedili selama seminggu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lapan buah kapal tangki asing ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur menerusi satu operasi yang dijalankan di Zon Maritim Tanjung Sedili selama seminggu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi yang bermula pada 26 Februari lepas itu dilakukan berdasarkan aduan yang diterima daripada Lembaga Pelabuhan Johor dan Jabatan Laut Wilayah Selatan.

Katanya, lapan kapal berdaftar dari luar negara itu secara keseluruhannya mempunyai seramai 104 kru berusia 26 hingga 59 tahun yang terdiri daripada warganegara Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India dan Georgia.

“Kesemua kru berkenaan didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua nakhoda melibatkan lapan kapal ini gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh oleh Pengarah Laut Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kapal berkenaan ditahan di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

Nurul Hizam dalam masa sama menjelaskan, operasi berkenaan serta pemantauan dan pemeriksaan akan terus dilakukan bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi oleh semua komuniti maritim.

“Pengusaha atau pemilik kapal juga dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa bagi melaksanakan sebarang aktiviti di perairan negara bagi mengelakkan tindakan yang lebih tegas dikenakan,” katanya.

Difahamkan kapal-kapal terbabit ditahan bersama kru masing-masing pada kedudukan mereka bersauh tanpa kebenaran sehingga kompaun yang dikenakan selesai dibayar sebelum dibenarkan belayar semula. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!