i-Sinar isteri bantu selamatkan perniagaan
Muhammad Khairul Amir Awang Mat Narani, 32, berkata, isterinya, Nordalila Farhana Yusof, 33, mendapat kelulusan pengeluaran i-Sinar pada 8 Januari lalu.
"Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu, perniagaan kami tidak dapat beroperasi hampir dua bulan dan mengalami kemerosotan pelanggan.
"Kami pernah memasak sendiri produk di rumah untuk hantar kepada pelanggan disebabkan premis perniagaan ketika itu tidak dibenarkan beroperasi. Waktu itu rasa sangat tertekan dan hampir putus asa," katanya.
Beliau berkata, selepas kebenaran pembukaan premis diberikan, isterinya ada menyuarakan hasrat mengeluarkan simpanan KWSP untuk mengubahsuai kedai bagi memberikan suasana yang lebih selesa sekaligus menarik lebih ramai pelanggan.
"Sebelum kerajaan luluskan pengeluaran ini, kami memang ada terfikir untuk keluarkan KWSP untuk baiki ubahsuai kedai namun agak sukar kerana tiada alasan yang kukuh.
"Syukurlah dengan kelulusan pengeluaran i-Sinar, wang yang ada ini digunakan sebagai modal untuk memberi nafas baharu kepada premis ini seterusnya menyuntik semangat kami untuk melakukan pelbagai inovasi bagi produk yang dihasilkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Muhammad Khairul Amir, beliau mengambil masa selama sebulan untuk mengubahsuai premis perniagaan Pisang Kejuk yang diusahakan bersama isteri sejak enam tahun lalu.
"Apabila kedai ini sudah siap diubahsuai dan beroperasi semula pada 11 Februari lalu, kami telah keluarkan produk baharu iaitu produk minuman berasaskan pisang.
"Dengan suasana kedai yang baharu dan lebih sistematik pelanggan juga secara tidak langsung lebih yakin untuk membeli di sini," katanya.
Beliau kini dalam proses menghasilkan pembungkusan baharu bagi produk minuman sejuk untuk ke pasaran luar.
Perniagaan Pisang Kejuk yang diusahakan menyediakan pelbagai produk berasaskan pisang goreng antaranya berperisa coklat, keju coklat dan nutella.
Selain itu, terdapat juga lima perisa minuman berasaskan pisang iaitu banana milk, choco banana milk, banana smoothie (with caramel crumbs), banana smoothies (with oreo crumbs) dan strawbery banana smoothies.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!