Harimau dahan sesat cari makan
LENGGONG - Seekor harimau dahan yang dikesan berkeliaran di kawasan perumahan Taman Kota, Kampung Lahar di sini awal pagi Khamis berkemungkinan sesat ketika mencari makanan.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, kehadiran haiwan sekitar jam 2 pagi itu dimaklumkan oleh penduduk, namun setakat ini tiada sebarang insiden serangan atau kecederaan dilaporkan berlaku.
Menurutnya, kemungkinan haiwan itu tersesat ketika mencari makanan atau berlaku gangguan pada habitat asal hingga terpisah dengan pasangan.
"Tindakan segera telah diambil dengan memasang satu perangkap di kawasan perumahan itu bertujuan menangkap haiwan berkenaan.
"Setakat ini, tiada tangkapan berhasil, kita berharap haiwan itu masuk semula ke kawasan hutan, namun bagi tujuan keselamatan Perhilitan akan terus memantau kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau meminta kerjasama orang ramai agar tidak cuba untuk menangkap harimau itu sekiranya terserempak.
"Jika terjumpa ia terperangkap atau mengancam keselamatan harta benda dan ternakan, mohon hubungi Jabatan Perhilitan dengan segera," katanya.
Rakaman video kehadiran harimau itu tular di media sosial menunjukkan haiwan terbabit berada di hadapan pagar sebuah rumah dan sedang menghidu sesuatu seolah-olah kelaparan mencari makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!