Bongkar rahsia kekuatan Azizulhasni
SEJAK Disember lalu sehingga awal Mac ini, banyak kisah tentang Juara Dunia Keirin 2017, Mohd Azizulhasni Awang disiarkan media massa tempatan dan luar negara.
Awang, begitulah gelaran pelumba cilik tersebut dalam kalangan pesaing luar negara. Ada juga yang menggelarkannya The Pocket Rocketman. Gelaran berkenaan sesuai kerana Azizulhasni antara segelintir pelumba di dunia yang mampu merakam kelajuan hampir mencecah 100 kilometer per jam (km/j).
Penulis mempunyai tanggungjawab sosial untuk menyudahkan kajian tentang Azizulhasni dan kisah aci sesondol (camshaft). Pada 18 Mei 2018, penulis bertemu Azizulhasni di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan untuk mengetahui rahsia kekuatan cadiens dimilikinya.
Pada 27 September tahun sama, penulis membentangkan kajian bertajuk Cycling Performance Biomechanics On Track Racing Beyonds Cyclist Physiological Profile di Hotel Grauer Bar, Universitatsstrasse, Innsbruck, Austria.
Kajian penulis melibatkan prestasi kayuhan Azizulhasni daripada perspektif biometrik, struktur badan pelumba, biomekanik dan arah daya kaki ketika melakukan kayuhan menghasilkan Force Cycling Loop (FCL) serta Torque Cycling Loop (TCL).
Inilah antara metodologi penyelidikan penulis. Ketika di Innsbruck, penulis berjaya menyerahkan hasil kajian berkenaan kepada Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), David Lappartient disaksikan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Kebangsaan (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab.
Sebelum ini, kajian penulis mendapati Azizulhasni memiliki daya sesondol tersembunyi dalam kayuhannya iaitu seperti aci sesondol enjin sebuah kereta menghasilkan daya tujahan maksimum.
Kajian penulis turut mendapati jika berat basikal yang digunakan kurang daripada 2.5 kilogram dan dengan berat badan Azizulhasni kurang 75kg, ini bermakna daya tujahan sesondol dalaman beliau melebihi 2,000 Kilonewtons (kN) ketika crank pedal berada pada sudut antara 60 darjah dan 150 darjah kanan serta kiri untuk mencapai kelajuan 96.7 km/j dalam tempoh 10 saat.
Justeru, penulis menantikan detik penting di Sukan Olimpik 2020 di Velodrome Izu, Jepun. Penulis ingin mengemaskini kajian penyelidikan melibatkan Azizulhasni.
Penulis telah meminta pengurus pasukan skuad berbasikal Malaysia ke Sukan Olimpik 2020, Datuk Ashakari Abu Noor untuk merakam semua perlumbaan yang melibatkan Azizulhasni dan seorang lagi pelumba trek kebangsaan, Shah Firdaus Sahrom. Penulis turut menerima bantuan pegawai Konfederasi Berbasikal Jepun (JCF), Naoko Kaizuki untuk menyiapkan penyelidikan ini.
Kejayaan
Daya kuasa dalaman dimiliki manusia sebenarnya telah dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam Surah Al-Qashash [28:35] maksudnya: “Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun) dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu.
Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang.”Penulis berharap hasil kajian tentang rahsia tujahan, aci sesondol dan sesondol terbalik dapat disudahkan secara sempurna. Tujuan penyelidikan ini ialah untuk membantu pihak berkuasa khususnya MNCF melahirkan lebih ramai pelumba bersaiz sederhana yang mampu mencapai kejayaan luar biasa seperti Azizulhasni.
Kali ini penulis akan tetap memberi tumpuan kepada kajian nisbah daya kuasa dengan berat badan pelumba (P/W).
Penulis percaya pasti ada rahsia kejuruteraan biomekanik badan yang perlu dikaji untuk mencapai kejayaan seperti dikecapi Azizulhasni. Kita wajar mengkaji kekuatan tujahan ajaib dimilikinya demi kelangsungan pelumba tempatan yang lain.
Kesimpulannya penulis berharap kajian ini mampu memberi sumbangan positif kepada arkib penyelidikan Malaysia.
Penulis ingin melihat Azizulhasni membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik. Pada masa sama, penulis ingin membongkar rahsia kekuatan kaki atau apa juga dimiliki Azizulhasni untuk perkongsian pelumba lain.
* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!