Konflik haiwan dan manusia tiada noktah
KONFLIK hidupan liar termasuk pertembungan gajah dengan manusia berlaku apabila hutan milik hidupan liar musnah ekoran aktiviti manusia.
Situasi itu menyebabkan hidupan liar tiada pilihan lain selain mencari makan di kawasan pertanian yang bersempadan dengan hutan.
Isu itu bermula secara ketara pada tahun 1960-an dan 1970-an, ekoran kerajaan membuka tanah secara besar-besaran melalui Program Basmi Kemiskinan oleh Felda dan Felcra.
Begitu juga pembinaan jalan dan lebuh raya yang sering dilakukan di koridor laluan denai gajah dengan ‘memotong’ hutan menjadi fragmen-fragmen kecil sekali gus memburukkan lagi konflik hidupan liar secara keseluruhan.
Akibatnya, banyak haiwan terutama mamalia besar seperti gajah, harimau dan beruang telah ditembak atau diracun hingga mati demi keperluan melindungi manusia, manakala kehidupan haiwan solitary seperti badak sumbu menjadi lebih tegang dan terganggu sehingga mereka gagal membiak.
Tidak dinafikan bahawa konflik di antara hidupan liar dan manusia adalah satu indikator pengurusan sumber asli kita selama ini.
Adakah manusia sebagai penguasa alam bertindak secara bijak dan berhemah dalam erti kata memastikan keseimbangan semasa mengguna dan menguruskan hasil dari alam semulajadi?
Berbicara isu penggunaan hutan, ia tidak salah dilakukan asalkan secara mampan dan bijaksana termasuk mengekalkan keadaan hutan dalam bentuk satu entiti besar.
Sebagai contoh, aktiviti pembalakan yang dilakukan dengan perancangan teliti adalah lebih baik tanpa memotong bukit atau menebang pokok lain yang pasti merosakkan peranan kawasan sekitar.
Jika mahu membalak perlulah kekalkan keadaan hutan, tetapi aktiviti menarah bukit membina laluan lori atau membersihkan terus hutan untuk dibuat ladang serta bangunan hendaklah dikurangkan kerana itu adalah pencerobohan kawasan laluan dan habitat hidupan liar.
Justeru, tidak wajarlah orang awam marahkan hidupan liar sedangkan aktiviti manusia sendiri sebenarnya telah menyebabkan hidupan liar terperangkap dalam tekanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!