LIMA'21 tetap tidak diadakan walaupun secara maya: Ismail Sabri
KUALA LUMPUR - Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2021 (LIMA’21) tetap tidak akan diadakan pada tahun ini walaupun ada permintaan untuk ia dilaksanakan secara maya, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, pihaknya banyak menerima cadangan untuk melaksanakan penganjuran LIMA’21 yang sebelum ini telah dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19 termasuklah untuk diadakan secara maya dan LIMA seterusnya akan diadakan pada 2023.
“Keputusan untuk mengadakan pameran LIMA pada tahun 2023 masih lagi dikekalkan dan tiada perubahan setakat ini.
“Selain itu, ramai orang menganggap bahawa tahun 2023 itu, (pemberian) vaksin Covid-19 di seluruh dunia telah selesai. Kita pun berkemungkinan semua telah dapat vaksin waktu itu (2023) maka peluang membuka (penyertaan LIMA) itu lebih besar untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas perkembangan lanjut penganjuran pameran LIMA’21 selepas menjadi tetamu jemputan program ‘Ruang Bicara: Setahun Malaysia Prihatin’ terbitan Bernama TV di sini pada malam Khamis.
Ismail Sabri berpendapat, sekiranya vaksin Covid-19 sudah diterima pada tahun 2023 maka tiada masalah untuk mengadakan pameran itu secara fizikal.
Pameran LIMA’ 21 sepatutnya diadakan pada 16 hingga 20 Mac tahun ini.
Ia terpaksa dibatalkan berikutan Covid-19 yang melanda dunia ketika ini telah memberikan impak besar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga di seluruh dunia dan wabak ini dilihat masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan penganjuran pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA), beliau berkata, DSA mungkin dapat diadakan tahun depan.
“Pihak saya masih lagi menunggu keputusan daripada bahagian dasar untuk mengkaji dan melihat terlebih dahulu mengenai cadangan penganjuran DSA pada tahun berkenaan (tahun 2022),” katanya.
Pameran DSA dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 31 Mac 2022.
Acara mega itu, antara lainnya akan menumpukan segmen yang bukan setakat berkaitan platform pertahanan tetapi juga pertahanan siber, sistem kawalan jarak jauh, penjagaan kesihatan di medan perang selain menyediakan pelbagai peluang bagi pakatan strategik, kerjasama perniagaan dan jaringan antara penggiat utama pertahanan dengan agensi keselamatan dan kerajaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!