UMNO Sabah teruskan perjuangan di bawah GRS
KOTA KINABALU - UMNO Sabah akan meneruskan perjuangan menunaikan janji menyelamatkan negeri ini daripada kerosakan yang dilakukan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, beliau tidak mahu hasrat untuk memperbaiki kerosakan tersebut gagal hanya kerana sakit hati dikhianati.
"Justeru, saya menyeru kepada ahli-ahli UMNO Sabah yang berautonomi agar menghormati mandat rakyat. Kita perlu jaga kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini walau apa pun yang berlaku di peringkat nasional selagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengkhianati kita sekali lagi.
"Kita perlu perkuatkan GRS seperti kuat dan padunya Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak menuntut hak-hak mereka menurut Perjanjian Malaysia 1963," katanya bagi mengulas hala tuju antara UMNO dan Bersatu di Sabah.
Sebagai permulaan, katanya, kerajaan GRS perlu fokus untuk tunaikan satu persatu AkuJanji yang telah dibuat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
"Tidak banyak. Hanya 79 buah AkuJanji," katanya.
Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta semua pemimpin GRS melaksanakan tugas masing-masing untuk membangunkan Sabah dengan baik.
"Elakkan perpecahan yang merugikan. Masih banyak yang belum tercapai dan rakyat sedang mengharapkan pemulihan ekonomi yang cepat.
"Kemakmuran ekonomi hanya akan tercapai sekiranya komponen parti GRS dapat kekalkan kestabilan politik yang ada dan tahu apa yang perlu dibuat," katanya.
UMNO di peringkat Pusat sebelum ini mengesahkan parti itu menamatkan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya sehingga Parlimen dibubar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!