Polis pantau 'posting' anti vaksin bekas pelakon

Mior Faridalathrash pada sidang akhbar pada Jumaat.
Mior Faridalathrash pada sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

TELUK INTAN - Polis sedang memantau laman sosial milik seorang bekas pelakon lelaki di negeri ini yang dilaporkan sering membuat hantaran berhubung fahaman anti vaksin di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sekiranya hantaran itu berbaur hasutan, maka tindakan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Setakat ini belum ada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkenaan kegiatan artis berkenaan, tetapi kita akan buat pemantauan terhadap bentuk posting yang disebarkan itu.

"Jika kenyataannya itu betul-betul menggugat ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat, maka siasatan lanjut akan dibuat," katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini pada Jumaat.

Hantaran dibuat pelakon komedi berusia 48 tahun yang pernah muncul dalam beberapa filem itu telah menjadi perbualan warganet kerana secara terang menolak vaksinasi dilaksanakan kerajaan.

Dalam laporan media pada Khamis, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez telah menasihatkan golongan selebriti agar tidak menyebarkan fahaman anti vaksin sebaliknya memanfaatkan pengaruh dimiliki untuk membantu kerajaan menggalakkan pengambilan vaksin dalam memerangi penularan Covid-19.

Kenyataan itu dibuat selepas tular di media sosial kebelakangan ini beberapa individu selebriti tempatan yang menolak vaksinasi dengan alasan ketidakpastian kandungan vaksin.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, setakat ini, 76 peratus daripada keseluruhan 10,924 pegawai dan anggota polis Perak telah menyatakan persetujuan sebagai penerima vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua mereka akan menerima suntikan secara berperingkat yang bermula pada 12 Mac ini.

"Saya yakin peratusan itu akan meningkat, kita tak peroleh persetujuan 100 peratus kerana ada antaranya telah diberikan pengecualian terutama mereka yang mempunyai alahan teruk, menyusukan anak dan mengandung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!