UMNO Sabak Bernam kekal pendirian letak calon PRU15
SABAK BERNAM - UMNO Sabak Bernam berpegang teguh kepada pendirian untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, perkara tersebut selari dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan UMNO Selangor.
Katanya, tidak timbul isu UMNO perlu menyerahkan kerusi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandangkan tidak wujud kerjasama antara kedua parti itu pada PRU15.
"Sebenarnya tiada isu soal pengagihan kerusi dan sebagainya kerana tidak wujud kerjasama antara UMNO dan Bersatu tetapi apa yang penting kita akan lawan dan mempertahankan kerusi Parlimen Sabak Bernam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Bersatu Bahagian Sabak Bernam membayangkan bakal meletakkan calon di salah satu daripada tiga kerusi di Parlimen Sabak Bernam pada PRU15.
Bagaimanapun Abd Rahman berkata, sekiranya ada kerjasama sekali pun dengan Bersatu, UMNO tetap kekal bertanding di mana-mana kerusi dimenangi parti itu sama ada Parlimen atau DUN.
"Mana-mana calon yang menang atas tiket UMNO atau Barisan Nasional (BN) tetapi melompat (sertai parti lain), carilah tempat lain bertanding menggunakan lambang parti masing-masing," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Ketua Bersatu Bahagian Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh optimis sekiranya ada kerjasama dengan UMNO dan Pas di bawah lambang Perikatan Nasional (PN), pembahagian kerusi itu dapat dimuktamadkan.
"Teorinya mudah, di Sabak Bernam ada tiga kerusi dan setiap parti (Bersatu, UMNO dan Pas) masing-masing bertanding di salah satu kerusi tersebut," katanya
Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Sabak Bernam dimenangi Mohd Fasiah atas tiket BN sebelum mengambil keputusan menyertai Bersatu.
Kerusi DUN Sungai Air Tawar pula dimenangi calon BN, Datuk Rizam Ismail dan DUN Sabak dimenangi calon Parti Amanah Negara (Amanah), Ahmad Mustain Othman yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!