Dalang sindiket ragut rantai, gelang emas diberkas

Saiful Azly (kiri) menunjukkan hasil rampasan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Saiful Azly (kiri) menunjukkan hasil rampasan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya memberkas empat individu termasuk dalang sindiket ragut rantai dan gelang emas, Geng Ayoi Gombak yang dikenali sebagai Angah dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 28 Februari dan Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang berperanan sebagai peragut di Sentul pada 28 Februari lalu.

"Lelaki itu telah direman di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Jenayah selama 21 hari bermula Rabu lalu hingga 23 Mac ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Saiful Azly berkata, hasil soal siasat, polis berjaya memberkas seorang lelaki dikenali sebagai Angah berusia 35 tahun di Shah Alam pada Isnin lalu.

"Kita turut merampas sebuah kereta BMW dan sebuah motosikal," katanya.

Beliau berkata, susulan daripada tangkapan itu, polis memberkas dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun di sebuah kedai emas di Hulu Kelang pada hari yang sama.

"Mereka berperanan sebagai 'pembeli emas' yang telah dilebur, seorang lelaki direman sehingga Jumaat, manakala seorang lagi diberi jaminan polis," katanya.

Beliau berkata, Angah merupakan 'ulat emas' yang membeli gelang dan rantai emas yang diragut dengan harga RM190 segram serta melebur emas itu sendiri di premis 'pembeli' setiap minggu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek disyaki melebur lebih kurang 400 hingga 500 gram emas, dia akan menjual emas kepada pembeli dengan harga RM216 segram.

"Pembeli akan membuat bayaran secara tunai kepada 'ulat emas' dengan anggaran RM50,000 hingga RM70,000," katanya.

Saiful Azly memaklumkan, pihaknya berjaya menyelesaikan 300 kes ragut rantai dan gelang emas sejak tahun lalu dengan anggaran kerugian RM900,000.

Pada 26 Januari lalu, polis menahan empat lelaki termasuk seorang lelaki warga Thailand disyaki terlibat dengan Geng Ayoi Gombak.

Dalam kenyataan sebelum ini Saiful Azly memaklumkan, dua lelaki itu direman di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Jenayah selama 21 hari bermula 15 Februari hingga Ahad ini.

"Seorang lelaki warga tempatan dan seorang warga Thailand pula telah diberi jaminan polis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!