Permohonan Khalid Samad batal pembelaan Presiden GMIM diputuskan 6 Mac
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 Mac untuk keputusan permohonan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad bagi membatalkan penyataan pembelaan difailkan Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM) Wan Asshima Kamaruddin.
Penyataan pembelaan itu adalah berkaitan saman dikemukakan Khalid berhubung tindakan wanita itu yang merakam, memuat naik atau menerbitkan sebuah video yang mengandungi kata-kata fitnah terhadapnya.
Peguam Muhammad Rafiqree Hamka, yang mewakili Khalid berkata tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad selepas pendengaran permohonan berkenaan di dalam kamarnya hari ini yang turut dihadiri peguam Wan Rohimi Wan Daud bertindak bagi pihak Wan Asshima.
Muhammad Rafiqree berkata anak guamnya memfailkan permohonan itu November tahun lepas, atas alasan pembelaan-pembelaan yang digunakan oleh defendan adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Pada 13 September tahun lepas, Khalid, 62, selaku plaintif menyaman Wan Asshima, 35, selepas mendakwa defendan pada 18 Ogos tahun lepas dengan sengaja merakam, memuat naik dan/atau menerbitkan sebuah video yang mengandungi kata-kata fitnah dalam laman Facebook miliknya yang boleh dicapai di https://www.facebook.com/wanasshima, yang secara langsung merujuk kepada Khalid kerana nama dan jawatannya telah disebut secara spesifik.
Mengikut penyataan tuntutan, Khalid, yang juga Anggota Parlimen Shah Alam, mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa plaintif telah mengiktiraf dan mengiyakan kedudukan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di Malaysia, menaik taraf serta melindungi hak golongan itu kerana berjaya menganjurkan dan meluluskan pesta gay yang terbesar di Kuala Lumpur sempena bulan Merdeka.
Pengarah Amanah itu mendakwa rakaman itu juga menyatakan bahawa beliau atas kapasiti sebagai menteri, pemimpin Amanah dan individu telah mencabuli hak asasi manusia beragama Islam, mencabuli undang-undang dan peraturan agama Islam yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, menghina kedudukan agama Islam serta menggugat kedudukan wanita beragama Islam apabila menghalalkan dan/atau meluluskan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur.
Khalid menegaskan tindakan defendan memuat naik dan/atau menerbitkan kata-kata fitnah itu suatu yang disengajakan, dibuat tanpa sebarang usul periksa dan dengan niat jahat bagi mendorong orang ramai khususnya umat Islam membenci beliau dan oleh itu plaintif menuntut perintah ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau daripada defendan.
Plaintif turut memohon defendan menerbitkan permohonan maaf melalui satu video untuk dimuat naik dalam laman Facebook defendan dan secara bertulis untuk diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dalam masa 48 jam daripada tarikh perintah ke atas writ saman itu dalam bentuk dan istilah yang dipersetujui oleh plaintif dan defendan hendaklah bertanggungjawab menanggung segala kos penerbitan permohonan maaf itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!