Bekas menteri tawar diri tanding pemilihan DAP Perak
IPOH - Setelah 10 tahun tidak bertanding pada pemilihan DAP Perak, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Kiong Seong dan bekas Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran kembali menawarkan diri merebut tempat sebagai ahli jawatankuasa sempena Konvensyen DAP Perak pada 14 Mac depan.
Thomas berkata, keputusan untuk kembali bertanding itu dibuat selepas didesak oleh akar umbi DAP kerana mereka mahukan perubahan di dalam organisasi itu.
Menurutnya, DAP Perak memerlukan suntikan baharu dalam kepimpinan bagi membolehkan parti itu kekal dominan dan terus diterima rakyat.
"Sebenarnya akar umbi yang mahukan kami kembali bertanding dan berada di dalam DAP Perak untuk membuat perubahan.
"Oleh itu kita mengharapkan sokongan mereka untuk berada di dalam organisasi DAP Perak pada pemilihan kali ini bagi memperkukuhkan lagi parti ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Perak, Buntong, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Leow Thye Yih; ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu dan 12 lagi calon yang akan bertanding pada pemilihan nanti.
Sementara itu, Thomas berkata, kejadian lompat parti oleh wakil rakyat DAP di negeri ini yang gagal ditangani sejak tahun 2009 hingga kini menyebabkan akar umbi mahukan perubahan di dalam pentadbiran DAP Perak.
Beliau berkata, jawatan terakhir di dalam DAP Perak pada tahun 2010 ialah setiausaha organisasi sebelum mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada pemilihan berikutnya.
Dalam pada itu, Kula Segaran berkata, sudah sampai masanya muka-muka baharu menerajui DAP Perak setelah peluang diberikan kepada kepimpinan sedia ada.
Katanya, DAP Perak perlu menjadi lebih dominan di dalam Pakatan Harapan (PH) agar peristiwa pengkhianat yang berlaku selepas dua pilihan raya iaitu pada tahun 2009 dan 2020 tidak berulang.
"Kita yakin sokongan rakyat kepada DAP kekal utuh tetapi perubahan di dalam organisasi mesti dilakukan bagi menguatkan parti.
"Malah kita mahu DAP mempunyai 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak berbanding hanya 18 kerusi supaya tidak lagi berlaku peristiwa lompat parti," katanya.
Kula Segaran berkata, kumpulan mereka menawarkan kepimpinan yang sentiasa mendengar, memperkasa serta membawa satu gagasan baharu kepada DAP Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!