Remaja mati lemas motosikal jatuh sungai
KEMAMAN - Seorang remaja ditemui maut dipercayai lemas selepas motosikal yang ditunggang terbabas sebelum terjatuh ke dalam Sungai Teladas, di sini.
Mangsa, Muhammad Ammar Izzat Zainudin,16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, di sini terapung bersama motosikal di sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, polis menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam pada jam 12.25 tengah malam Jumaat memaklumkan penemuan mayat mangsa tersepit bersama motosikal jenis Honda EX5.
"Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Air Puteh seorang diri menghala ke rumahnya di Teladas. Ketika sampai di lokasi kejadian mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan sebelum terjatuh ke dalam Sungai Kampung Teladas.
"Siasatan awal juga tidak menemui sebarang kesan jenayah berdasarkan kecederaan mangsa," katanya.
Beliau berkata, waris mangsa memaklumkan kali terakhir bertemu dengan mangsa jam 10.30 malam Rabu lalu sebelum melaporkan kejadian kepada polis dan mayatnya ditemui selepas 24 jam dilaporkan hilang.
"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan punca kematian serta waktu disahkan meninggal dunia masih belum dikenalpasti.
"Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!