Pawagam kembali beroperasi, 'kaki wayang' lepas rindu

Pembukaan semula pawagam yang kembali dibenarkan beroperasi bermula pada Jumaat, nyata memberi kelegaan kepada para penggemar filem untuk mereka melepaskan rindu menyaksikan tayangan di layar perak. Gambar hiasan
Pembukaan semula pawagam yang kembali dibenarkan beroperasi bermula pada Jumaat, nyata memberi kelegaan kepada para penggemar filem untuk mereka melepaskan rindu menyaksikan tayangan di layar perak. Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Pembukaan semula pawagam yang kembali dibenarkan beroperasi bermula pada Jumaat, nyata memberi kelegaan kepada para penggemar filem untuk mereka melepaskan rindu menyaksikan tayangan di layar perak.

Tinjauan di sekitar lokasi pusat belah di negeri ini, pemandangan peminat filem beratur di kiosk untuk membeli tiket filem baharu seperti Don't Look Back, Demon Slayer - Kimetsu No Yaiba The Movie: Mugen Train, Raya and The Last Dragon, kembali mewarnai suasana di kawasan pawagam terpilih.

Rata-rata pengunjung berasa teruja, malah ada dalam kalangan mereka yang membeli tiket secara dalam talian sejak malam Khamis, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Salah seorang pengunjung, Najwa Syahirah Zamsari, 21, berkata biarpun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, namun ia dilihat bukan sebagai halangan kepada 'kaki wayang' untuk menonton filem kegemaran mereka.

“Sejak semalam (Khamis) saya telah merancang untuk pergi ke pawagam hari ini dengan kawan baik, kerana sudah lama juga tidak dapat tengok filem baharu.

“Bagi saya, apabila kita dapat menonton di layar yang lebih besar dengan kesan bunyi dalam panggung, ia adalah satu kepuasan,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nur Fatin Yazid, 21, berkata ini satu peluang untuk menikmati keseronokan menonton di panggung, selepas sekian lama tidak dapat menyaksikan filem baharu walaupun perlu mengekalkan penjarakan fizikal.

“Hampir setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas berkuatkuasa, saya belum berkesempatan berkunjung ke pawagam dan hari ini baharu datang semula.

Artikel Berkaitan:

“Jika sebelum Covid-19 melanda, hampir saja setiap kali ada keluaran filem baharu yang menarik mesti saya akan datang,” katanya.

Sementara itu, salah seorang petugas pawagam Nur Amalina Rosli, 26, memaklumkan, jumlah penonton yang hadir amat menggalakkan dan pembelian tiket secara dalam talian turut memberangsangkan.

Pembukaan semula operasi itu juga jelasnya satu kelegaan kepada mereka yang bekerja dalam industri tersebut dan sudah pasti mengalu-alukan kehadiran penonton.

“Sememangnya kami sentiasa bersedia di samping, memastikan kebersihan dan keselamatan penonton termasuk membersih dan melakukan sanitasi sebelum dan selepas tayangan di ruang menonton,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!